Kenal-kenal Cina

A
A
A

MUNGKIN ramai antara kita yang tidak pernah mendengar peribahasa 'kenal-kenal Cina' yang bermaksud 'baru kenal dan belum mesra lagi,' menurut Kamus Pelajar DBP Edisi Kedua.

Saya juga baru pertama kali mendengar peribahasa tersebut melalui Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong semasa sesi wacana forum yang bertajuk Peranan Pemimpin Komuniti Dalam Memupuk Perpaduan dan Keharmonian di Peringkat Akar Umbi sempena Perhimpunan Perpaduan Demi Negara anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kelantan.

Profesor Kok Seong merupakan Profesor Bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan berkhidmat sebagai Felo Utama Bersama di dua buah institut di UKM iaitu Institut Kajian Etnik (Kita) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma).

Beliau berkelulusan PhD dalam bidang Linguistik dari The University of California, Berkeley, Amerika Syarikat pada 1993.Sebagai etnik Cina yang sama-sama berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan, saya kagum dengan kegigihan beliau memperjuangkan bahasa Melayu.

Atas sumbangan beliau dalam memartabatkan bahasa Melayu, beliau dianugerahkan Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 2012, Ikon Pejuang Bahasa 2015 oleh Ketua Pengarah JPA, dan Anugerah Bitara Bahasa Melayu 2018 oleh UKM.

Keprihatinan beliau dalam soal pembentukan negara bangsa khususnya pemupukan semangat nasionalisme dan patriotisme untuk identiti nasional membawa kepada pelantikannya sebagai Ikon Patriotik sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 oleh Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Maka, pemilihan beliau sebagai salah seorang ahli panel membincangkan isu-isu perpaduan nasional oleh JPNIN Negeri Kelantan adalah satu keputusan yang tepat bagi saya.

Perpaduan

Artikel Berkaitan:

Tahun ini, setelah hampir 62 tahun merdeka, adakah perpaduan di negara kita semakin kukuh atau rapuh?

Jika ditanya pada golongan tua, ramai yang mengatakan semangat perpaduan masih ada tetapi tidak seperti dahulu pada tahun-tahun awal selepas kemerdekaan. Ketika itu, tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India, mempunyai ikatan perpaduan yang baik berbanding sekarang.

Perkara itu semakin ketara selepas pilihan raya umum tahun lepas yang menyaksikan pertukaran kerajaan Persekutuan dan banyak kerajaan negeri.

Kita dapat saksikan bagaimana isu berkaitan kaum dan agama semakin menjadi-jadi di media sosial.

Kebebasan bersuara disalahguna terutama di media sosial, ramai yang tidak mempedulikan lagi sensitiviti dalam masyarakat berbilang bangsa dengan mempersendakan agama, bahasa dan kaum lain.

Hal itu menjadi salah satu cabaran besar untuk mengekalkan perpaduan yang sedia ada hari ini.

Apatah lagi dengan bilangan pengguna internet negara yang menunjukkan jumlah 25.08 juta pengguna mewakili 79 peratus penduduk Malaysia, menurut kajian pada akhir 2018.

Daripada jumlah berkenaan, sejumlah 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di media sosial.

Oleh itu, ahli politik kerajaan mahupun pembangkang perlu memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan dan keharmonian kaum dalam keadaan perbezaan ideologi juga tohmahan dan fitnah yang semakin berleluasa.

Mereka perlu mengambil kira fungsi serta kesan teknologi dalam perkara yang sama.

Memang benar apa yang disuarakan oleh Profesor Kok Seong iaitu bahawasanya hubungan kaum di negara kita sebenarnya hanyalah sekadar kenal-kenal Cina. Banyak lagi yang harus kita lakukan bagi memperbaiki perkara ini.

Antaranya, memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Kita boleh lihat betapa eratnya orang Cina Peranakan Kelantan (Cina kampung) dengan masyarakat Melayu sekitar kerana mereka fasih berbahasa Melayu serta dialek Kelantan.

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan warna kulit dan itu menjadikan negara kita kaya dengan pelbagai budaya.

Perbezaan ini seharusnya diraikan dan dijadikan kekuatan berlandaskan konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

Syukurilah nikmat perpaduan dan keamanan yang ada dan sama-samalah kita menjaga keharmoniannya.

* Dr. Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan Rakan Perpaduan JPNIN Kelantan