Cabaran atasi 'najis' kewangan

A
A
A

SEBELUM dan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 satu soalan yang selalu orang ramai tanya ialah apa akan terjadi kepada ekonomi negara kalau Barisan Nasional (BN) terus perintah?

Jawapannya negara boleh jadi muflis macam yang berlaku kepada Greece pada tahun 2010 apabila ia tidak lagi mampu bayar balik hutang luarnya.

Kerana itulah apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan setelah mengalahkan kerajaan BN, salah satu tindakan awalnya ialah menghentikan pemborosan dan melaksanakan penjimatan.

Tapi keadaan kita lebih baik daripada Greece sebab walaupun hutang negara, iaitu gabungan hutang kerajaan dan swasta besar tapi kebanyakannya dipinjam dalam negara.

Kerajaan dan agensi kerajaan serta sektor swasta berhutang dalam negara daripada orang ramai, bank-bank swasta dan tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Ada dua cara kerajaan berhutang. Satu, ia berhutang atas namanya sendiri dengan menjual bon biasa atau bon syariah (sukuk) dan kedua, dengan menanggung hutang agensi kerajaan dengan memberi jaminan.

Oleh sebab itulah walaupun hutang kerajaan dianggarkan sekitar RM800 bilion, tapi bila campur jaminan yang kerajaan beri, hutang dan tanggungan hutang kerajaan jadi lebih RM1 trilion.

Walaupun kerajaan PH terus memberi macam-macam bantuan dan subsidi tapi ada yang dikurangkan jumlahnya atau dihadkan kepada kumpulan termiskin saja.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan tahu ramai rakyat susah dan marah tapi kerajaan sanggup kena kutuk daripada biarkan negara bankrap.

Maaf cakaplah kalau saya kata kerajaan BN, khususnya di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat dan meninggalkan terlalu banyak 'najis'.

Baru-baru ini, dengan bantuan seorang bekas menteri Kabinet Najib sendiri, saya buat satu congak ringkas berkenaan 'najis' yang kerajaan BN tinggalkan.

Secara paling ringkas, berikut adalah lubang 'najis' galian Najib yang kita terpaksa tanggung dan timbus. Butiran ini saya dapati daripada beberapa sumber termasuk TH, Felda, LTAT dan Kementerian Kewangan.

TH: Pengurusan telah seleweng dananya melalui pembelian yang meragukan hingga ia rugi RM10.2 bilion. Mereka senang-senang langgar perlembagaan TH untuk bayar hibah yang tinggi. Mereka guna duit penyimpan untuk bayar hibah. Maksudnya mereka makan modal.

Untuk selamatkan TH dan para penyimpan, kerajaan PH terpaksa beli harta lapuk TH yang nilainya RM9.7 bilion dengan harga RM19.9 bilion melalui syarikat milik kerajaan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd.

Maaf cakaplah, kerajaan tak jual harta TH kepada orang luar atau Cina DAP macam difitnah oleh sesetengah pensyarah dan profesor 'kangkung' serta lebai penjaja agama.

Felda: Kelemahan tadbir urus dan penyelewengan seperti membeli harta dengan harga yang tinggi menyebabkan Felda rugi teruk. Untuk pulihkannya, kerajaan terpaksa suntik RM6.2 bilion.

Contoh terbaik penyelewengan ini ialah apabila Felda dipaksa beli 38 peratus saham ladang PT Eagle High di Indonesia dengan harga RM2.1 bilion walaupun nilai pasaran hanya RM1 bilion. Pada akhir 2018, nilai pelaburan itu telah jatuh kepada RM600 juta saja.

1MDB: Ada orang kata cerita lapuk tapi satu dunia kata inilah skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia. Itu pun ada lagi orang yang sanjung Najib sebagai 'Bossku'.

Sekarang kita sedang tanggung beban hutang 1MDB sebanyak RM32.2 bilion. Tapi jumlah itu tidak masuk faedah dan bayaran lain yang kalau masuk semua mungkin lebih RM50 bilion.

Sesiapa yang berminat hendak baca senarai penuh 'najis' RM75 bilion ini boleh kunjungi blog saya The Scribe A Kadir Jasin di https://kadirjasin.blogspot.com/