Supparamani hormati agama, budaya

Tiada pilih kasih antara resepi kejayaan yang dicapai sepanjang menjadi jurulatih kepada atlet berkeperluan khas.
Tiada pilih kasih antara resepi kejayaan yang dicapai sepanjang menjadi jurulatih kepada atlet berkeperluan khas.
A
A
A

TELUK INTAN - Menjadi jurulatih pasukan berkeperluan khas bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi dianggotai ahli berbilang kaum kerana ia bukan sahaja memerlukan kemahiran serta pengalaman tetapi kesabaran yang tinggi.

Bagi Jurulatih Futsal Lelaki Pendidikan Khas Daerah Hilir Perak, A Supparamani, 39, tanggungjawab itu sesuatu yang menyeronokkan.

Bercerita mengenai pengalamannya, Supparamani berkata, selain menjadi jurulatih pasukan futsal, beliau juga merupakan jurulatih olahraga keperluan khas negeri Perak.

Katanya, biarpun kebanyakan atlet terdiri daripada bangsa Melayu dan Cina, namun ia bukan penghalang untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Dalam pasukan futsal memang ada berbilang kaum dan mereka saling menghormati antara satu sama lain walaupun mereka serba kekurangan.

“Golongan ini memang istimewa dan kekurangan mereka itu saling melengkapi pasukan. Itulah rahsia kejayaan kami,” katanya kepada Sinar Harian.

No Image Caption

Ambil berat tentang solat

Artikel Berkaitan:

Supparamani berkata, kejayaan sesebuah pasukan bukan terletak sepenuhnya pada kemahiran fizikal tetapi turut meliputi kekuatan spiritual.

“Solat memang saya tekankan untuk mereka yang Muslim. Mereka wajib solat lima waktu kerana pada saya hubungan dengan tuhan perlu dijaga untuk berjaya.

“Malah kalau ada perlawanan atau latihan saya akan lantik seorang ketua dalam kalangan mereka untuk pastikan mereka solat,” katanya.

Supparamani berkata, rahsia kejayaannya membimbing pasukan adalah menghormati budaya dan amalan orang lain walaupun seseorang itu dalam kalangan mereka yang berkeperluan khas.

Menurut beliau, hubungan dengan tuhan sangat penting dan perlu dijaga kerana daripada situ dapat membentuk peribadi seseorang atlet.

Latih berdasarkan potensi Supparamani yang berpengalaman sebagai guru selama 12 tahun berkata, kebanyakan pelajar yang dilatih mempunyai potensi untuk diketengahkan.

“Dalam melatih atlet, saya tak kira apa latar belakang mereka. Jika mereka ada bakat, kita akan gilap dan latih mereka sehingga berjaya.

“Akhirnya mereka nanti akan mengharumkan nama daerah yang diwakili, negeri dan negara,” katanya.

Supparamani bersama pasukan futsal yang dibimbingnya ketika menyertai pertandingan di Teluk Intan.
Supparamani bersama pasukan futsal yang dibimbingnya ketika menyertai pertandingan di Teluk Intan.

Dari segi interaksi ketika latihan, Supparamani menjelaskan arahan yang diberikan perlu jelas dan menggunakan kaedah tertentu untuk golongan ini.

Katanya, terdapat situasi yang memerlukan beliau bertegas dan serius tetapi adakalanya perlu bergurau dengan anak buahnya bagi memastikan mereka dapat membezakan keadaan serius atau sebaliknya.

Anak jati Teluk Intan itu turut berterima kasih kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa di sini, khususnya pengetuanya, Norrizan Hussin yang banyak memberikan sokongan.

Selain itu katanya, penghargaan harus diberikan kepada Unit Pendidikan Khas Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak dan Jabatan Pendidikan Perak yang memberikan kepercayaan untuk melatih anak-anak istimewa itu.

Beliau berkata, semangat perpaduan dalam kalangan mereka yang berkeperluan khas ini sangat kuat.

“Jika ada dalam kalangan mereka terlupa bawa duit belanja, akan ada rakan-rakan yang berlainan bangsa tolong belanja. Mereka seperti satu keluarga. Malah saya anggap mereka macam anak sendiri,” katanya.

Biarpun terdiri daripada pelbagai bangsa, kejayaan pasukan merangkul johan pada Pertandingan Cabaran IT untuk Belia Berkeperluan Khas Peringkat Kebangsaan amat membanggakan.
Biarpun terdiri daripada pelbagai bangsa, kejayaan pasukan merangkul johan pada Pertandingan Cabaran IT untuk Belia Berkeperluan Khas Peringkat Kebangsaan amat membanggakan.

Supparamani berkata, pencapaian terbaik bagi pasukan olahraganya adalah dengan memenangi enam pingat emas dalam kejohanan olahraga peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, semakin ramai menyedari potensi dan kebolehan atlet berkeperluan khas ini.

Sasar kejuaraan

Supparamani berkata, pencapaian terbaik pasukan futsal daerah Hilir Perak yang dibimbingnya setakat ini berjaya ke peringkat separuh akhir kejohanan di peringkat negeri.

Beliau percaya, pasukan itu mampu merangkul kejuaraan pada tahun ini dengan segala persiapan yang telah dilakukan.

Terbaru, salah satu pasukan yang dibimbing berjaya menjadi johan dalam kategori Cabaran e-Kandungan dalam Pertandingan Cabaran IT untuk Belia Berkeperluan Khas Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Melaka pada 10 hingga 12 Julai lalu.

Bercakap mengenai mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini, Supparamani berkata, orang muda khususnya di peringkat sekolah perlu terus disemai rasa hormat-menghormati antara satu sama lain.

Supparamani bersama salah seorang atlet olahraga yang dilatihnya.
Supparamani bersama salah seorang atlet olahraga yang dilatihnya.

Katanya, semangat perpaduan itu perlu dibimbing oleh orang dewasa dengan menunjukkan contoh yang baik terutama kepada golongan berkeperluan khas.