270 penduduk khatam al-Quran serentak

Majlis Khatam Al-Quran Masjid Mukim Pangkal Meleret dirasmikan Mohd Zairi semalam.
Majlis Khatam Al-Quran Masjid Mukim Pangkal Meleret dirasmikan Mohd Zairi semalam.
A
A
A

MACHANG - Usaha merakyatkan al-Quran dalam kalangan masyarakat di sekitar Mukim Pangkal Meleret membuahkan hasil apabila 270 penduduk berjaya khatam serentak pada Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Masjid Mukim Pangkal Meleret, di sini semalam.

Majlis khatam itu melibatkan tujuh kumpulan di bawah Kumpulan Khatam Al-Quran Masjid Mukim Pangkal Meleret diketuai Mohd Azlan Riffin.

Pembimbing kumpulan tersebut, Karimah Mohd Taib berkata, kumpulan mengaji yang dimulakan sejak 2017 tersebut melibatkan penduduk Mukim Pangkal Meleret dan kawasan sekitar, malah turut mendapat permintaan dari seluruh jajahan ini.

Katanya, bermula dengan dua kumpulan atau 60 peserta, Kumpulan Khatam Al-Quran Masjid Mukim Pangkal Meleret kini berjaya disebarluaskan dan mendapat sambutan memberangsangkan apabila merekodkan 11 kumpulan termasuk satu kumpulan lelaki pada tahun ini yang mana berjumlah 330 peserta.

"Mereka yang sibuk atau mempunyai kekangan tertentu juga boleh menyertai kami tanpa sebarang halangan kerana mereka tidak perlu ke kelas setiap hari tetapi kami memanfaatkan teknologi maklumat untuk menjayakannya.

"Setiap peserta yang menyertai kumpulan ini akan dipantau oleh ketua kumpulan masing-masing dan setiap tugasan juga dimaklumkan melalui kumpulan di aplikasi WhatsApp. Jadi mereka tidak terikat dengan masa," katanya pada Majlis Khatam al-Quran Masjid Mukim Pangkal Meleret, di sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Sahabat Al-Quran Kelantan, Datuk Dr Mohd Zairi Sarlan.

Hadir sama Pegawai Agama Jajahan Machang, Mohd Ibrisam Jalaluddin dan Pengerusi Masjid Mukim Pangkal Meleret, Kamaruzzali Dollah.

Artikel Berkaitan:

Karimah berkata, kumpulan berkenaan ditubuhkan sejak Ogos 2017 dalam usaha mengaktifkan golongan wanita dan mengajak penduduk menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan harian.

Katanya, ahli kumpulan tidak perlu berkumpul setiap masa, namun mereka akan dipantau oleh ketua kumpulan masing-masing untuk menyampaikan maklumat atau juzuk-juzuk yang perlu dibaca mereka sebelum sama-sama khatam al-Quran.

"Selain membaca di rumah, kami juga turut mengadakan kelas mengaji di masjid untuk membantu ahli-ahli memperkemaskan bacaan mereka.

"Kumpulan ini juga menjayakan program bacaan Yasin dari rumah ke rumah, membaca al-Quran 40 (untuk orang yang meninggal dunia), berzanji dan nasyid bagi mempelbagai akvititi seterusnya mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

"Selain penduduk tempatan, ada juga ahli dari luar Mukim Pangkal Meleret menyertai kumpulan ini dan kami mengalu-alukannya," katanya.