Tiga pekerja kilang melecur terperangkap dalam kebakaran

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga pekerja kilang barangan kitar semula mengalami kecederaan melecur, selepas terperangkap dalam kebakaran di kawasan penyimpanan barangan kitar semula kilang itu di Seelong, Kulai, dekat sini, malam ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai Baru, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Awang berkata kebakaran dilaporkan berlaku pada 7.30 malam ketika kesemua mangsa sedang bekerja di tempat terbabit.

Dua mangsa merupakan lelaki warga Pakistan dan seorang lagi merupakan lelaki warga Bangladesh.

Semuanya dianggarkan berumur 30 hingga 35 tahun dan telah pun dihantar ke Hospital Kulai untuk menerima rawatan lanjut.

“Kebakaran melibatkan kawasan simpanan barangan kitar semula kilang tersebut, yang berkeluasan 0.5 ekar dan tidak melibatkan struktur bangunan kilang.

"Barangan kitar semula itu pula ialah tong gas LPG dan tong gas welding,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, sebuah jentera bersama lima keanggotaan telah dihantar ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran sebaik menerima panggilan kecemasan.

Operasi pemadaman turut dibantu oleh dua jentera dan tujuh keanggotaan dari BBP Skudai. - Bernama

Artikel Berkaitan: