Jurujual di Madinah 'kecek Kelate'

Jurujual kedai menjual tamar dan manisan Mustaffa, 25, berketurunan Arab-Pakistan yang mampu berbahasa Malaysia dan 'kecek Kelate' menunjukkan kedai dikenali dengan nama panggilan 'Kedai Tamar Malaysia' terletak di Hotel Al Haram, Madinah. Foto: Bernama
Jurujual kedai menjual tamar dan manisan Mustaffa, 25, berketurunan Arab-Pakistan yang mampu berbahasa Malaysia dan 'kecek Kelate' menunjukkan kedai dikenali dengan nama panggilan 'Kedai Tamar Malaysia' terletak di Hotel Al Haram, Madinah. Foto: Bernama
A
A
A

MADINAH - "Abe make doh (abang dah makan?)," sapa seorang pemuda berketurunan Arab-Pakistan ketika penulis melalui sebuah kedai menjual tamar dan manisan di Hotel Al Haram di sini.

"Dok lagi (belum lagi)... nok belanjo ko (nak belanja ke?)," jawab penulis sambil tersenyum menjawab sapaan pemuda bernama Mustaffa, 25, seorang jurujual di kedai Khair Al Bilad Dates, yang mana jurujualnya mampu berbahasa Malaysia dan 'kecek Kelate' atau bertutur dalam loghat orang Kelantan.

Menarik perhatian, kedai yang terletak di dalam bangunan Hotel Al Haram, sebuah hotel dimiliki Lembaga Tabung Haji (TH) itu dihiasi bendera Malaysia dan mempunyai papan tanda ditulis tangan 'Kedai Tamar Malaysia' serta 'boleh kecek Kelate'.

Menghulurkan dulang kecil berisi pelbagai jenis tamar dan manisan, Mustaffa menjemput penulis untuk menjamahnya, "Belanjo abe (belanja abang)," katanya.

Ditanya bagaimana dan mengapa beliau belajar berbahasa Malaysia serta 'kecek Kelate', Mustaffa menceritakan beliau belajar daripada rakan-rakannya sekuliahnya yang berasal dari Kelantan, di sebuah pusat pengajian Islam di sini.

"Belajar juga (kecek Kelate) dengan teman wanita saya, orang Tanah Merah (di Kelantan). Belajar (berbahasa Malaysia) zaman budak lagi, kerja di sini lagi banyak belajar kerana ramai pelanggan orang Malaysia," katanya.

Mustaffa berkata majoriti pelanggan di kedainya dan kedai sekitar Hotel Al Haram merupakan rakyat Malaysia kerana hotel itu menjadi tempat penginapan jemaah haji Malaysia di bawah TH, justeru kebolehan berbahasa Malaysia memudahkan jurujual berinteraksi dengan pelanggan mereka.

Selain Malaysia, kebolehan berbahasa Malaysia dan 'kecek Kelate' itu, menurut beliau, amat membantu dalam berinteraksi dan mempromosi barangan jualannya kepada rakyat Thailand, terutama dari selatan negara itu, dan Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan pemerhatian penulis, selain bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris, peniaga kedai kecil di Madinah mampu berbahasa selain Arab, seperti Urdu dan Hindi, bagi menarik perhatian jemaah haji khususnya dari India dan Pakistan.

"Ramai datang ke sini (Arab Saudi) dari negara lain seperti keluarga saya dari Pakistan untuk cari rezeki, jadi (kerana itu) ada banyak bahasa di Madinah ini," katanya yang lahir di sini.

Cara Mustaffa dan rakannya menerangkan barangan jualannya dengan berbahasa Malaysia dan 'kecek Kelate' selain menjenamakan kedai mereka dengan nama Malaysia menarik perhatian ramai pelanggan rakyat Malaysia.

Malah penulis tertarik dengan harga dan kualiti ditawarkannya, malah sempat membeli buah tin, manisan dan kismis di kedai itu, "Terima kasih abe, jumpa lagi," kata Mustaffa mengakhiri perbualan dengan penulis.- Bernama