Bekas Datuk Bandar Teheran didakwa bunuh isteri

Mohammad Ali Najafi dituduh membunuh isteri keduanya, Mitra Ostad di rumah mereka pada Mei lalu.
A
A

TEHERAN - Bekas datuk bandar Teheran hari ini dibicarakan atas tuduhan membunuh isterinya, lapor media Iran.

Mohammad Ali Najafi dituduh menembak mati isteri keduanya, Mitra Ostad di kediaman mereka di Teheran.

Selepas kertas pertuduhan dibacakan, pendakwa raya turut membacakan kenyataan dari Najafi yang mendakwa isterinya itu pernah mengugutnya menggunakan pisau ketika bertengkar.

Menurut media Iran, mayat Ostad ditemui dalam tab mandi selepas Najafi menyerah diri kepada polis dan mengaku membunuhnya pada 28 Mei lalu.

Keluarga Ostad merayu supaya perbicaraan dijalankan mengikut undang-undang syariah yang bermakna Najafi akan dihukum mati jika sabit kesalahan.

Perbicaraan Najafi yang ditangguhkan sehingga Rabu depan mendapat liputan meluas di Iran.

Beliau dipilih sebagai datuk bandar pada Ogos 2017 tetapi meletak jawatan pada April 2018 selepas dikecam kerana menghadiri persembahan tarian pelajar perempuan. – AFP