Penyatuan demi Islam, Melayu

Ismail Sabri (dua dari kiri) bersama Ahmad Jazlan (dua dari kanan) bergambar dengan sebahagian rombongan tetamu dari Pas selepas perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di Dewan Apam Putra hari ini.
Ismail Sabri (dua dari kiri) bersama Ahmad Jazlan (dua dari kanan) bergambar dengan sebahagian rombongan tetamu dari Pas selepas perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di Dewan Apam Putra hari ini.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penyatuan ummah antara UMNO dan Pas lebih kepada mempertahankan kesucian Islam dan hak orang Melayu, bukan untuk kepentingan kedua-dua parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua parti itu perlu melupakan segala 'sengketa' politik sebelum ini sebaliknya menjadikan Islam dan Melayu sebagai asas perjuangan utama.

"Saya harap kalau ada lagi ahli yang tidak bersetuju dengan penyatuan ummah, sama ada dalam Pas atau UMNO kita perlu lupakan, sebaliknya bersatu.

"UMNO dan Pas perlu menolak kepentingan parti masing-masing kerana perjuangan kita adalah agama Islam dan bangsa Melayu, ia bukan soal peribadi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di Dewan Apam Putra, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Menariknya, Timbalan Yang Dipertua Pas Rantau Panjang yang juga ADUN Gual Periok, Mohamad Awang bersama rombongannya turut hadir ke majlis tersebut.

Ismail berkata, ahli UMNO perlu membuktikan kepada rakan sekutu bahawa parti tidak mempunyai masalah dalam penyatuan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Pas telah membuktikan mereka tidak mempunyai masalah dalaman parti.

"Malah dalam pemilihan pucuk pimpinan, semuanya menang tanpa bertanding menunjukkan betapa bersatunya mereka," katanya.