Enam pencalonan layak bertanding jawatan Presiden FAM

Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Shah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (hadapan empat, kiri) berkenan bergambar bersama Presiden FAM Datuk Hamidi Mohd Amin (hadapan lima, kanan) dan Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia selepas Kongres Tahunan FAM Ke-55 hari ini. - Foto Bernama
A
A

TIDAK semua individu kini boleh sewenang-wenangnya memasang impian dan bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ia susulan Kongress FAM ke-55 yang berlangsung hari ini bersetuju meminda Artikel 27 (4) yang menyaksikan seseorang calon itu perlu mendapat sekurang-kurangnya enam pencalonan sebelum layak bertanding merebut kerusi nombor satu badan induk itu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pindaan melibatkan penstrukturan semula dan penambahan artikel baharu itu selaras dengan perubahan yang telah diterima pakai oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ia turut melibatkan jawatan timbalan presiden, dengan setiap calon perlu mendapat minima lima pencalonan, begitu juga jawatan naib presiden dan ahli jawatankuasa eksekutif - masing-masing perlu mendapatkan empat dan dua pencalonan.

"Kita rasakan keperluan untuk jawatan presiden dan timbalan ini bukan sewenang-wenangnya untuk ditandingi tetapi mestilah orang yang saya fikir kalau dapat pencalonan enam untuk presiden dan lima untuk timbalan mesti orang yang aktif.

“Kita tidak mahu ada satu calon yang tiba-tiba datang bertanding sebab pencalonan ini bebas kepada seluruh rakyat Malaysia. Bukan datang daripada ahli gabungan sahaja,” katanya pada sidang media selepas kongres di sini.

Menurut Mohd Yusoff, keputusan itu akan meletakkan FAM pada kedudukan yang lebih dihormati apabila pindaan tersebut akan menyaksikan hanya individu yang layak sahaja mampu berada di tampuk kepimpinan badan induk itu.

“Pindaan itu juga dapat memperkemaskan lagi tadbir urus FAM yang lebih berintegriti serta mewujudkan pengasingan kuasa yang jelas antara FAM dan ahli gabungan.

Sementara itu, Kongres FAM yang bersidang lebih tiga jam itu turut menyaksikan pemilihan Pengurus pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM baharu.

Kamarul Ariffin memperolehi 25 undi sekali gus mengatasi empat lagi calon bertanding bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Subkhidin Mohd Salleh yang berundur pada November tahun lepas.

Dalam pada itu, kongres turut bersetuju melantik Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal sebagai wakil badan induk itu dalam melaksanakan misi Malaysia mengetuai proses pembidaan hos bersama Piala Dunia 2034.

Beliau berkata langkah pertama selepas ini adalah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan terdiri daripada wakil Kementerian Belia dan Sukan selain beberapa agensi kerajaan.

Sebagai rekod, Kongres Tahunan FAM yang dihadiri 39 perwakilan daripada 20 ahli gabungan itu dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang bakal genap setahun mengisi jawatan berkenaan pada esok, selepas dipilih pada Kongres ke-54 pada Julai 2018.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia