Usaha serap guru KAFA di peringkat akhir

Fuziah (dua, kanan) merakamkan gambar bersama johan dari yang telah memenangi Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Pahang di Berjaya Megamall, di sini hari ini.
Fuziah (dua, kanan) merakamkan gambar bersama johan dari yang telah memenangi Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Pahang di Berjaya Megamall, di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kertas Kabinet lantikan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke dalam skim perjawatan tetap telah disiapkan dan dijangka dibentangkan ke Kabinet sebelum akhir Julai ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, pihaknya kini sedang melakukan rundingan agar cadangan tersebut tersenarai untuk menerima dana daripada Belanjawan 2020.

Menurutnya, perbincangan dengan pelbagai pihak turut diwujudkan dalam memastikan cadangan tersebut difahami sepenuhnya supaya tidak timbul masalah atau isu di masa hadapan.

"Kertas Kabinet telah pun siap dan kini juga kini sedang berunding dengan pelbagai pihak seperti pemegang saham dan kementerian-kementerian kerana ini melibatkan dasar baharu yang perlu mereka fahami sepenuhnya.

"Isnin ini juga perbincangan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen berkenaan Belanjawan 2020 akan diadakan dan saya akan bawa cadangan ini untuk dimasukkan ke dalam belanjawan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Malaysia Baharu bersempena Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Pahang di Berjaya Megamall, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.

Sementara itu, ketika berucap pada program tersebut, rakyat harus berbangga kerana Malaysia muncul sebagai negara terbaik dunia untuk melabur atau menjalankan perniagaan pada 2019 berdasarkan majalah CEOWORLD.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini membuktikan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Malaysia kini telah menjadi destinasi paling menarik untuk pelabur dan ahli perniagaan dalam kalangan 67 negara yang ditinjau.

"Pemilihan ini kita nampak pelabur telah mula meyakini bahawa negara kita sememangnya serius dalam membanteras negara daripada gejala rasuah yang merupakan kejayaan bagi PH yang baharu setahun memerintah.

"Kita harap bahawa generasi baharu yang merupakan pewaris pemimpin di masa hadapan dapat menghindarkan perkara ini supaya negara ini sentiasa dalam kemakmuran dan bebas daripada rasuah," katanya.

Penarafan itu berdasarkan 11 faktor berbeza termasuk rasuah, kebebasan (peribadi, perdagangan dan kewangan), tenaga kerja, perlindungan pelabur, infrastruktur, cukai, kualiti hidup, birokrasi dan kesediaan teknologi.

Setiap kategori diberi pertimbangan sama rata dan penarafan itu meletakkan Singapura di tempat keenam diikuti India, Republik Czech, Sepanyol dan Thailand.

Manakala United Kingdom, Amerika Syarikat, China dan Jepun masing-masing di tempat ke-16, ke-18, ke-24 dan ke-32.