'Husam tak perlu jadi ahli nujum'

Mahdzir (dua dari kanan) bersama Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (dua dari kiri); Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (kanan) dan Setiausaha UMNO Negeri, Datuk Rozi Mamat yang hadir sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Marang 2019 di sini hari ini.
Mahdzir (dua dari kanan) bersama Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (dua dari kiri); Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (kanan) dan Setiausaha UMNO Negeri, Datuk Rozi Mamat yang hadir sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Marang 2019 di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid membidas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Husam Musa supaya tidak menjadi tukang tilik atau ahli nujum dalam menentukan individu yang layak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau mendakwa, tindakan Husam itu sudah boleh dijangka kerana ramalan tersebut adalah ‘modal’ yang sering diguna pakai sejak ahli politik itu berada di dalam parti Pas namun setiap pandangan yang dilontarkan terserah kepada pemimpin berkenaan.

“Waktu duduk dalam Pas dulu pun dia jadi ahli nujum, sekarang duduk dalam Amanah pun dia nak jadi ahli nujum dan dia nak nujumkan (ramalkan) semua orang termasuk Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Saya tak mahu ulas lebih-lebih sebab itu semua pandangan dia. Terserah pada dia nak kata apa pun. Apa yang saya boleh simpulkan yang dia hanya merepek dan mahu jadi ahli nujum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Marang di Dewan Anggerik, Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai di sini hari ini.

Menurutnya, cadangan Husam yang mempelawa Pas untuk mempertimbangkan tawaran menyertai Pakatan Harapan (PH) adalah tidak masuk akal.

“UMNO punya parti, Pas punya parti apa pasal dia nak sibuk? Hari tu dia yang keluar Pas dan tubuh Amanah, sekarang dah duduk dalam Amanah nak ajak Pas bergabung pula. Cadangan itu memang tidak logik dan tidak boleh diterima,” katanya.

Dalam pada itu, agenda yang dibawa hasil kerjasama dan penyatuan ummah UMNO dan Pas disambut baik walaupun hubungan antara kedua-dua parti berbeza di setiap negeri.

Artikel Berkaitan:

"Secara konsepnya, mereka setuju cuma formula dan kaedah yang digunakan di setiap negeri adalah berbeza antara satu sama lain misalnya di Terengganu akan ada formula pelaksanaan tersendiri di negeri ini. Begitu juga di negeri lain yang melaksanakannya mengikut keadaan dan konsep di negeri itu.

"Kaedah pelaksanaannya juga akan dibincangkan jawatankuasa di setiap negeri yang digelar sebagai jawatankuasa pelaksana (peringkat negeri) dan jawatankuasa kerja atau program di peringkat bahagian," katanya.