DEB: UMNO serah kepada rakyat nilai Anwar

Annuar (dua, kiri) bergambar bersama kepimpinan UMNO negeri dan bahagian serta Skuad Sabil, di sini hari ini.
Annuar (dua, kiri) bergambar bersama kepimpinan UMNO negeri dan bahagian serta Skuad Sabil, di sini hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - UMNO menyerahkan kepada rakyat untuk menilai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang diwujudkan berdasarkan kaum perlu dihapuskan kerana dianggap tidak mampan untuk jangka panjang.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO mengetahui Anwar sememangnya mempunyai pemahaman sedemikian.

"Bagi kita, ini bukan soal dasarnya kerana dalam negara, DEB dah tak ada kerana ditukar dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Model Ekonomi Baru (MEB) tetapi apa yang kita dokong (DPN) dan (MEB) itu roh dan semangat DEB seperti menghapuskan kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan antara kaum," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Selangor di Dewan Dato Seri Dr Abu Hassan Omar, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor hari ini.

Annuar menegaskan, dasar yang dilaksanakan itu masih tetap relevan walaupun selepas penamatan DEB.

"Kita hormati pandangan beliau dan biarlah rakyat menilai," katanya.

Ditanya adakah pandangan Anwar itu hanya untuk meraih populariti dan mencari pengaruh, Annuar berkata, semua pihak bukan saja Anwar bahkan UMNO juga memerlukan pengaruh dalam politik.

"Anwar kena cari pengaruh apatah lagi pengaruh beliau merosot sebab pengaruh tidak datang sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Tak nafikan Anwar berasa bimbang sebab tidak lagi menjadi wadah orang Melayu yang juga menolak Bersatu. Wadah orang Melayu ketika ini ialah UMNO dan Pas, inilah cara mereka mencari pengaruh," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, ahli UMNO diingatkan belajar daripada Pas khususnya melibatkan soal 'walak' atau setia kepada pemimpin.

Annuar berkata, pengalaman dilalui Pas sebagai pembangkang amat dihormati dan amat berguna kepada UMNO.

Malah katanya, gabungan kerjasama antara UMNO dan Pas diyakini merupakan gandingan kuat dan mantap, selain saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

"Dua parti (UMNO dan Pas) ini paling tua, lama dan banyak pengalaman," katanya.