Pengadil Jepun kendali final Piala FA 2019

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pengadil dan pegawai perlawanan dari Jepun dipilih untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, selain pengadil, dua penjaga garisan adalah dari negara Matahari Terbit itu serta seorang pengawai perlawanan tempatan.

Beliau berkata daripada tiga permohonan dihantar kepada tiga negara sebelum ini iaitu Thailand, Australia dan Jepun, hanya Australia dan Jepun memberi maklum balas positif.

Bagaimanapun, FAM memutuskan untuk menggunakan khidmat tiga pengadil dari Jepun selepas meneliti later belakang dan kelayakan mereka, katanya pada sidang media selepas Kongres FAM ke-55 di sini, hari ini.

Beliau berkata pemilihan pengadil dari Jepun itu juga selaras dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), April lalu, bagi mengukuhkan kerjasama antara lain dalam bidang teknikal dan pentadbiran.

Sebelum ini, isu penggunaan pengadil import untuk aksi final itu menjadi sedikit panas apabila FAM dan Liga Bola Ssepak Malaysia (MFL) tampak berselisih pendirian.

Dalam pada itu, Stuart menegaskan keputusan untuk menggunakan khidmat pengadil dari luar itu sebagai percubaan dan ia tidak bermakna FAM memandang remeh soal pembangunan pengadil tempatan.

Menurutnya, usaha itu adalah untuk memenuhi hasrat peminat bola sepak tempatan yang ingin melihat tahap mutu pengadilan berkualiti dalam sesebuah perlawanan final berintensiti tinggi.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Perak muncul juara Piala FA pada 1990 dan 2004, manakala Kedah juara empat kali dengan kali terakhir pada edisi 2017.- Bernama