Warga emas didakwa rosakkan batu nisan ditahan

Sebahagian batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jernih, Lubok China yang dirosakkan.
Sebahagian batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jernih, Lubok China yang dirosakkan.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang warga emas lelaki ditahan polis selepas dipercayai merosakkan kira-kira 29 batu nisan di kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jernih, Lubok China, Masjid Tanah, petang semalam.

Dalam kejadian lebih kurang 6.45 petang, seorang penduduk ternampak individu yang tidak bekerja itu sedang berbaring di kawasan perkuburan berkenaan dan dipercayai orang terakhir berada di kawasan tersebut sebelum lelaki itu berlalu pergi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Abd Rahman berkata, atas maklumat orang awam, pihaknya berjaya menahan lelaki terbabit di rumahnya di Kampung Sungai Jernih.

Anggota polis dan penduduk melihat kawasan itu setelah menerima aduan mengenai insiden berkenaan. (Kanan: Sebuah kubur yang turut mengalami kerosakan batu nisan.)
Anggota polis dan penduduk melihat kawasan itu setelah menerima aduan mengenai insiden berkenaan. (Kanan: Sebuah kubur yang turut mengalami kerosakan batu nisan.)

"Kita telah menahannya dan siasatan lanjut berhubung motif masih diteruskan selain akan mohon reman.

"Hasil siasatan awal mendapati warga emas berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga mendapati individu itu positif dadah jenis morfin," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Sinar Harian pada 22 Jun lalu menyiarkan penduduk berhampiran Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin Pasir Putih, Bachang, di daerah Melaka Tengah gempar dengan kejadian lebih 30 kubur dirosakkan, dengan dua daripadanya turut dibakar pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk gempar 30 batu nisan dicabut, dibakar]