KTM Komuter beroperasi guna jadual baharu mulai 16 Julai

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan KTM Komuter akan beroperasi menggunakan jadual waktu baharu berkuat kuasa 16 Julai ini, ekoran pelaksanaan projek menaik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KDVT) yang beralih ke fasa seterusnya.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan jadual baharu itu melibatkan perkhidmatan di Lembah Klang, Komuter Ekspres Seremban dan Skypark Link, manakala perkhidmatan KTM Komuter Utara adalah terkecuali.

“Dengan penjadualan baharu ini, perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan antara Stesen Pulau Sebang dan Stesen Batu Caves akan beroperasi secara terus dan penumpang tidak perlu menggunakan perkhidmatan bas transit antara Stesen Sentul dan Stesen KL Sentral serta Stesen LRT Sentul Timur.

“Perkhidmatan bas transit bagi laluan Stesen Segambut-Stesen KL Sentral masih kekal dengan kekerapan setiap satu jam, bermula 6 pagi hingga 11 malam,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bahawa empat perkhidmatan tren ditambah bagi laluan dari Stesen Pulau Sebang ke Stesen Batu Caves, menjadikan lapan perkhidmatan di laluan tersebut.

"Bagi perkhidmatan Komuter Ekspres Seremban, perkhidmatan tren di sebelah petang, mulai 5.52 petang, ke stesen Seremban akan bermula dari Stesen Sentul (berbanding bermula dari Stesen KL Sentral sebelum ini), dengan tambahan empat hentian di Stesen Sentul, Stesen Putra, Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur,” tambah KTMB.

Jadual waktu baharu itu boleh dirujuk di laman sesawang www.ktmb.com.my dan saluran media rasmi KTMB di Facebook KTM Berhad, Instagram ktmbofficial, twitter @ktm_berhad atau Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 untuk maklumat lanjut.- Bernama

Artikel Berkaitan: