Enam tokan dadah kena cekup

Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam hari ini.
Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Enam suspek termasuk dua pasang kekasih berjaya dicekup dalam serbuan membabitkan kegiatan pengedaran dadah di sebuah rumah di Kampung Penerangan, Sekinchan, 8 Julai lalu.

Dalam serbuan jam 5.30 petang itu, polis menahan wanita yang juga suspek utama berusia 53 tahun dan anak lelakinya berusia 23 tahun serta kekasih anaknya berusia 18 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, turut ditahan lelaki berusia 23 tahun dan teman wanitanya berusia 20 tahun serta seorang lagi rakan mereka berusia 41 tahun.

"Mereka menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lalu di rumah sewa suspek utama selepas polis memusnahkan port penagihan di Pasir Panjang, Sekinchan.

"Mereka dipercayai menjual dadah jenis heroin yang dibungkus dengan harga RM10 hingga RM15 dengan berat 0.5 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini hari ini.

Chee Khoon berkata, rata-rata pembeli datang dari Sekinchan dan Tanjong Karang bagi mendapatkan bekalan dadah.

Katanya, serbuan di rumah suspek dilakukan hasil risikan dan maklumat awam sejak beberapa bulan lalu.

"Hasil pemeriksaan polis menemui dua peket besar dan satu peket plastik lut sinar serta tiga keratan straw mengandungi dadah jenis heroin seberat 32.06 gram bernilai RM960.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas, alat penimbang, gunting serta wang tunai sebanyak RM11, 330 yang diletakkan dalam beg sandang di atas rak televisyen," katanya.

Chee Khoon berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua suspek memiliki rekod lampau jenayah narkotik.

Katanya, hasil saringan ujian air kencing juga mendapati tiga suspek positif dadah manakala tiga lagi negatif.

"Semua suspek direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.