Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua mapan: Guan Eng

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2019 mapan dipacu peningkatan pengeluaran perindustrian tempatan yang kukuh pada Mei, serta pertumbuhan eksport dan permintaan domestik berterusan, menurut Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata pertumbuhan pengeluaran perindustrian mengatasi jangkaan pasaran untuk kali ketiga berturut-turut dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Mei meningkat empat peratus berbanding bulan sama 2018.

Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, IPP berkembang sebanyak 3.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2018, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada 3 Julai lepas, S&P Global Ratings’ (Standard and Poor’s) telah mengesahkan semula penarafan kredit Malaysia pada A- dengan jangkaan stabil.

“Ini berbeza dengan trend pengeluaran perindustrian di ekonomi (negara) ASEAN lain yang sedang menguncup pada bulan yang sama. Di Filipina, Singapura dan Thailand, pengeluaran perindustrian mereka masing-masing jatuh 2.1 peratus, 2.4 peratus dan empat peratus tahun ke tahun,’ katanya.

Guan Eng berkata, tambahan pula ekonomi Singapura bagi suku kedua tahun ini hanya berkembang 0.1 peratus tahun ke tahun, dan ini bersamaan dengan penguncupan 3.4 peratus suku ke suku.

Ahli ekonomi HSBC Joseph Incalcaterra menyatakan bahawa perangkaan terbaru dari Singapura merupakan penunjuk awal kelembapan pertumbuhan ekonomi di rantau ini akibat perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat yang berlanjutan, katanya.

Sebagai persediaan untuk 2020, Guan Eng berkata Malaysia sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, terikat dalam rantaian pembekalan global.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan sedar akan risiko yang ditanggung Malaysia yang berpunca daripada kelembapan ekonomi dunia, terutama apabila beberapa rakan dagang utama Malaysia mengalami pertumbuhan perlahan. Kerajaan akan mengambil kira segala senario dan risiko berkaitan dengan perang perdagangan dalam menyediakan Belanjawan 2020,” katanya.

Selain itu, Guan Eng berkata kerajaan sedang menjalankan usaha mesra perniagaan untuk mendapatkan manfaat daripada perubahan rantaian pembekalan global, di samping meneruskan usaha pembaharuan institusi.

Beliau berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia turut menunjukkan kadar pengangguran pada Mei tahun ini turun kepada 3.3 peratus daripada 3.4 peratus pada April, manakala jumlah penggangur pada Mei berkurangan kepada 519,800 orang daripada 523,300 orang pada April.

Berdasarkan pengembangan eksport dan pengeluaran perindustrian, ekonomi negara adalah kukuh di samping mengatasi cabaran luaran.

“Malaysia sedang menerima manfaat daripada perang perdagangan menerusi peralihan perniagaan serta fenomena lencongan perdagangan dan pelaburan. Pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan untuk semua sektor pada suku pertama 2019 meningkat 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion setahun lalu.

“Peningkatan ini didorong kenaikan FDI yang diluluskan bagi sektor pembuatan sebanyak 127 peratus kepada RM20.2 bilion daripada RM8.9 bilion setahun lalu,” katanya.

Selain perangkaan perindustrian dan perdagangan, Lim berkata terdapat beberapa penunjuk positif lain yang menggambarkan aliran ekonomi negara adalah memberangsangkan.

Ia termasuk kadar inflasi pada Mei 2019 kekal rendah dan stabil pada 0.2 peratus, sementara jualan kenderaan juga menunjukkan kekukuhan pertumbuhan permintaan domestik dengan jumlah jualan pada Mei melonjak 41 peratus kepada 60,780 unit berbanding 42,977 unit setahun lalu, katanya.- Bernama