Najib yakin Pas tidak buat keputusan terburu-buru

Najib ketika ditemui pada sidang media hari ini.
Najib ketika ditemui pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Pas tidak akan membuat keputusan secara terburu-buru berhubung pelawaan Amanah untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, ini kerana pada peringkat sekarang hubungan kedua-dua parti itu semakin serasi berbanding dahulu.

Menurutnya, pelawaan seumpama itu boleh sahaja datang dalam pelbagai cara yang mana lebih bersifat individu.

"Mereka boleh buat apa sahaja pelawaan, tetapi saya tak fikir yang Pas akan buat sesuatu keputusan dengan cara yang gelojoh.

"Saya tengok di peringkat akar umbi dan bahagian-bahagian seperti tadi program saya di Gerik, Pesuruhjaya Pas negeri dan pimpinannya hadir bersama.

"Kita pun dah bersetuju nak buat piagam antara UMNO dan Pas, Insya-ALLAH ia akan jadi kenyataan," katanya kepada pemberita hari ini.

Najib dan Tengku Razaleigh tetap menjadi tumpuan ketika hadir majlis persandingan anak perempuan Hamidah di Kelab Golf Diraja Perak hari ini.
Najib dan Tengku Razaleigh tetap menjadi tumpuan ketika hadir majlis persandingan anak perempuan Hamidah di Kelab Golf Diraja Perak hari ini.

Semalam, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mempelawa Pas untuk mempertimbangkan tawaran menyertai PH dan menjadi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau dilapor berkata, sudah tiba masanya untuk Pas dan pemimpinnya berfikir jika tidak mahu perjuangan mereka selama lebih 60 tahun untuk menumbangkan kerajaan UMNO sia-sia.

Terdahulu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir meraikan majlis persandingan anak perempuan Naib Presiden Parti Bumiputera

Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman iaitu Khairul Atiqah Mohd Idris dan pasangannya, Amirul Hafizi Alias di Kelab Golf Diraja Perak.

Hadir sama, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.