UMNO buka pintu kepada Bersatu

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO sentiasa membuka pintunya kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai parti itu termasuk Parti Bersatu.

Bagaimanapun beliau menegaskan yang UMNO tidak akan sama sekali bekerjasama dengan DAP kerana tahu parti itu mempunyai agenda yang tidak selaras dengan perjuangan UMNO.

"Kita tidak kata bahawa penyatuan ummah Pas dan UMNO ini menutup pintu, tapi kita buka seluas-luasnya kerjasama dengan parti-parti lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain supaya kerajaan PH yang gagal ini ditumbangkan.

"Tapi kita sudah buat keputusan yang UMNO tidak sesekali dibubarkan untuk masuk Bersatu, itu keputusan peringkat tertinggi.

"Tetapi sebagai parti politik kita sentiasa buka pintu, sesiapa sahaja yang hendak bersama UMNO termasuk Bersatu, (saya ucapkan) 'selamat pulang saudaraku'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di sebuah hotel di sini hari ini.

Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau turut mengingatkan ahli parti supaya tidak meletakkan kerjasama UMNO dan Pas semata-mata sebagai tiket kemenangan dalam PRU15.

Menurutnya, semua jentera parti komponen BN khususnya MCA dan MIC perlu sama-sama memainkan peranan merancang strategi untuk bangkit dan memperkuatkan parti masing-masing bermula dari sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Salah satu strategi UMNO untuk hadapi PRU15 ini adalah kerjasama dengan Pas.

"MIC sudah pun turut serta dan MCA nampaknya telah mula memahami apa makna konsep penyatuan ummah antara UMNO dan Pas," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, semua pemimpin BN dalam mesyuarat tertinggi parti itu tempoh hari, telah memutuskan bahawa Konvensyen BN akan diadakan September ini.

“Kita akan panggil semua pemimpin parti termasuk ketua bahagian untuk bahaskan berkenaan dengan peranan parti.

“Kita tidak mahu lagi UMNO dilihat sebagai parti yang amat dominan dalam BN sehingga orang kata MIC dan MCA ‘dibuli’.

"Pada konvensyen ini juga, kita akan pinda piagam BN,” katanya.