X

Kindly register in order to view this article
!

Kanak-kanak maut akibat apendiks pecah

Esah menunjukkan gambar anak bongsunya Ahmad Shariez yang meninggal dunia akibat pecah apendiks.
A
A

MARANG - Keluarga seorang kanak kanak berusia 10 tahun yang meninggal dunia kerana apendiks terkilan kerana hanya mengetahui penyakit dideritai anak mereka itu pada hari kematiannya.

Ibu kanak kanak terbabit, Esah Sidek, 51, berkata, anak lelaki bongsunya itu, Ahmad Shariez Nurulddin Ahmad Hasbi, 10, tidak pernah bercerita tentang kesakitan yang ditanggungnya kepada keluarga.

Sebaliknya, kata Esah, anaknya itu hanya mengadu sakit perut kepada rakan baiknya termasuk anak jiran namun merahsiakannya kepada keluarga dan hanya berkongsi mengenainya pada Isnin lalu.

"Itulah kali pertama dia mengadu sakit perut dan muntah tetapi kesakitan itu reda semula dan kali kedua keesokan harinya namun hanya pada hari Rabu kakaknya membawanya ke klinik kira-kira jam 9 pagi.

“Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tetapi apendiksnya sudah mencapai tahap kritikal dan ketika itulah juga kami sekeluarga baru tahu dia menghidap apendiks.

"Setelah menjalani pemeriksaan dia disyorkan untuk menjalani pembedahan namun tidak sempat dibedah dan meninggal dunia kira kira jam 6.50 petang," katanya ditemui di rumahnya di Kijing di sini hari ini.

Ibu lapan anak itu menyifatkan kehilangan anak lelaki bongsunya itu sebagai satu tamparan hebat kepada keluarga terutama suaminya, Ahmad Hasbi Ali, 52, dan anak perempuannya, Siti Norsolehah, 21.

"Ini kerana mereka sangat rapat dan suami juga terkilan kerana tidak dapat berikhtiar mengubati penyakit anak lebih awal kerana arwah tidak bercerita mengenainya kepada ahli keluarga sendiri," katanya.

Esah juga menafikan anaknya itu didakwa koma selama dua hari sebelum meninggal dunia akibat apendiks pecah ketika dirawat di HSNZ seperti yang dihebahkan dalam media sosial sejak dua hari lalu.

Sehubungan itu, ibu kepada kanak kanak itu meminta orang ramai tidak cepat membuat konklusi berdasarkan cerita tidak pasti kesahihannya di Facebook namun keluarga itu reda dengan ujian yang menimpa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!