X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO terbuka terima pandangan ahli

Annuar (dua dari kanan) pada Pelancaran Skuad Sabil Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor pada Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Selangor di Dewan Dato Seri Dr Abu Hassan Omar, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor hari ini.
A
A

KUALA SELANGOR - UMNO bersedia menerima pandangan dan teguran terhadap parti itu termasuk berhubung isu pelantikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pandangan dilontarkan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuktikan senario dalaman parti telah berubah.

"Kalau (Mohamed) Nazri dan KJ (Khairy Jamaluddin) hendak bersuara, kita alukan kerana UMNO sekarang bukan UMNO dahulu.

"Tak ada masalah siapa nak menegur dan memberi pandangan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Selangor di Dewan Dato Seri Dr Abu Hassan Omar, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor, hari ini.

Annuar berkata, pandangan kedua-duanya disifatkan berguna kepada parti, namun menyifatkan kedudukan 'suara' tersebut tidak boleh sama besar dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Apatah lagi suara Mohamed Nazri dan KJ tiada dalam Majlis Tertinggi (MT) dan jawatankuasa Pusat BN," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, perbezaan pandangan tersebut tidak akan sesekali memberi peluang kepada pihak lain melaga-lagakan UMNO.

"Begitu juga di peringkat UMNO bahagian. Jika ada yang terpencil, terpinggir dan merajuk marilah kita bergabung kalau hendak menjadi gabungan kuat," katanya sambil memberitahu jika UMNO dan Pas bersedia bekerjasama, tiada alasan kepada ahli UMNO untuk tidak merapatkan semula saf dan kembali sebagai sebuah pasukan kuat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus