Ummah bimbang Islam semakin ditekan

Antara ulama, da'i dan Ummah yang hadir pada Ijtimak Ulamak dan Daie Ummah di Kuala Lumpur semalam.
Antara ulama, da'i dan Ummah yang hadir pada Ijtimak Ulamak dan Daie Ummah di Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Muzakarah Ijtimak Ulama dan Da’i Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bimbang dengan keadaan agama Islam yang dilihat semakin ditekan melibatkan aspek perundangan dan perlembagaan, sosial serta sistem pendidikan negara.

Presiden Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, muzakarah yang diadakan hari ini menyeru umat Islam untuk bersatu dengan mengetepikan semua perbezaan kecil bagi menghadapi serangan daripada musuh-musuh Islam.

“Seramai 50 ahli yang terdiri daripada ulama, guru-guru sekolah pondok, da’i dan ahli Ummah seluruh negara mencapai resolusi berkaitan permasalahan umat Islam hari ini termasuk menyokong segala usaha yang dilakukan pihak Ummah dalam mengangkat Islam ke tahap lebih tinggi termasuk memperkukuhkan institusi ulama, pondok dan warisan perjuangan ulama terdahulu.

“Kami juga bersetuju untuk bekerjasama dalam Ummah bagi menyebarkan kesedaran kepada umat Islam seluruhnya terhadap kegawatan agama Islam dengan meluasnya pemikiran liberalisme yang menyebabkan kerosakan pada aspek akidah serta pemikiran rakyat hari ini,” katanya pada sidang media selepas muzakarah ijtimak tersebut, hari ini.

Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, mereka menolak dan menentang apa sahaja usaha untuk membenarkan ajaran sesat diajar dan disebarkan dalam masyarakat Islam.

“Begitu juga usaha menyebarkan agama Kristian yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami menyeru masyarakat Islam khususnya terus berzikir dan munajat kepada ALLAH untuk memberi pertolongan dalam mempertahankan agama,” jelasnya.

Tambahnya, Ijtimak Ulama dan Da’i Ummah sepakat berusaha membangunkan ekonomi umat Islam dengan mengeluarkan produk Muslim bagi membantu kewangan dan sosio-ekonomi umat Islam di negara ini.

Artikel Berkaitan: