Op Samseng Jalanan: 87 saman dikeluarkan

Antara penunggang motosikal yang ditahan dan diperiksa polis. - FOTO POLIS
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 87 saman dikeluarkan polis dalam Ops Samseng Jalanan di Taman Batang Baru Jalan banting Jugra awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 11 malam hingga 5 pagi dijalankan oleh sembilan pegawai dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah dan 52 anggota Polis Daerah Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Azizan Tukiman berkata, antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak mempunyai lesen, ubah suai ekzos serta lampu brek tidak berfungsi.

“Dalam operasi itu, sebanyak 34 motosikal diperiksa membabitkan 42 penunggang dan pembonceng motosikal. Rata-rata mereka yang ditahan dan diperiksa adalah berusia 14 hingga 24 tahun.

“Polis turut menyita 27 motosikal dan telah dibawa ke Balai Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian.

Azizan berkata, dalam operasi berkenaan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 24 tahun berkaitan kes jenayah yang dilaporkan di Sitiawan Perak.

Azizan menambah, operasi yang dilaksanakan merupakan operasi berkala susulan pihaknya menerima banyak aduan dari masyarakat yang terganggu dengan kegiatan rempit dalam kalangan remaja kampung berkenaan.

"Kegiatan salah laku ini kerap berlaku pada hujung minggu khususnya di jalan besar Banting menghala ke Jugra dalam jarak 1.5 kilometer yang merupakan jalan lurus.

"Kegiatan rempit ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam malah membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya lagi.

Polis memeriksa salah seorang penunggang motosikal dalam Ops Samseng Jalanan. - FOTO POLIS
Polis memeriksa salah seorang penunggang motosikal dalam Ops Samseng Jalanan. - FOTO POLIS