MAHB anjur lawatan khas ke rusuk udara KLIA

KLIA
A
A

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) menganjurkan lawatan khas ke rusuk udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) khusus untuk peminat penerbangan tempatan dalam usaha kerjasama dan sokongan kepada mereka.

Menurut pengendali lapangan terbang itu, lawatan tersebut memberi peluang kepada peminat penerbangan untuk mengenali lebih dekat pesawat kegemaran mereka di samping mengambil gambar.

Kunjungan diadakan pada 26 Jun lepas adalah susulan kejayaan pelancaran dek tinjau pesawat terbuka, Anjung Spotter, di KLIA pada bulan sama.

Sebanyak 10 pemerhati pergerakan pesawat daripada pelbagai latar belakang dan jurugambar media menyertai lawatan khas itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin, dalam kenyataan hari ini berkata, lawatan ke rusuk udara tersebut merupakan pendekatan pihaknya untuk berterima kasih kepada peminat penerbangan tempatan atas sumbangan berterusan mereka dalam mengetengahkan rangkaian lapangan terbang itu menerusi gambar yang mengagumkan.

“Kami berharap apabila mendedahkan mereka kepada operasi lapangan terbang semasa kunjungan khas itu, mereka akan dapat memahami lebih mendalam mengenai peranan lapangan terbang dalam menyediakan kesalinghubungan yang lancar kepada setiap orang di negara ini menerusi rangkaian lapangan terbang,” katanya.

Semasa lawatan ke rusuk udara itu, kumpulan peminat turut membawa kamera serta pelbagai jenis lensa dan dibawa ke ketiga-tiga landasan KLIA. Mereka juga dibawa berada di tengah-tengah landasan itu untuk mengambil gambar pelepasan dan ketibaan pesawat.

Kumpulan itu juga menyertai kunjungan mengejut ke Balai Bomba 1 yang dikendalikan bahagian Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang.

Mereka tidak hanya menerima taklimat mengenai peranan dan tanggungjawab anggota bomba di lapangan terbang malah berpeluang memandu jentera bomba lapan tayar ‘Rosenbauer Panther’ yang boleh menampung sehingga 14,500 liter agen pemadam kebakaran.

Kumpulan berkenaan telah bersama-sama MAHB dalam mewujudkan kelab peminat ‘MYElites’, inisiatif oleh pengendali lapangan terbang itu untuk memastikan pengalaman menarik bagi komuniti lapangan terbang.

Kelab itu menyediakan lawatan fotografi, sesi perkongsian pengetahuan serta forum penerbangan kepada ahlinya.

Setakat ini, selain KLIA, kelab itu juga menganjurkan lawatan ke rusuk udara Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Subang, Lapangan Terbang Kota Bharu dan Lapangan Terbang STOL Bario untuk ahlinya. - Bernama