Peniaga perlu mohon notis jualan murah

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Terengganu sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.
Pegawai penguatkuasa KPDNHEP Terengganu sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.
A
A
A

KUALA NERUS - Peniaga yang ingin mengadakan jualan murah termasuk melibatkan barangan persekolahan diingatkan supaya memohon notis kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, permohonan notis itu adalah syarat wajib yang perlu dilakukan peniaga 14 hari sebelum jualan murah diadakan di premis masing-masing.

"Selain itu, peniaga perlu memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada barang di premis mereka termasuk dalam jualan murah dengan harga 10 peratus lebih murah daripada harga asal.

“Notis jualan murah perlu diletakkan di tempat yang mudah dilihat manakala butir barangan dan harga dipamerkan pada kedudukan yang senang dikesan serta meletakkan harga asal dan harga jualan murah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 oleh Exco Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman di Pasaraya Xiri di sini, hari ini.

Menurutnya, kegagalan peniaga memohon notis jualan murah membolehkan KPDNHEP mengenakan tindakan melalui Akta Perihal Dagangan 2011 (Harga Jualan Murah).

“Walaupun kesalahan tidak memohon notis jualan murah melibatkan peniaga di negeri ini masih terkawal, namun kita sentiasa membuat pemantauan secara berterusan terutama peniaga baru.

“Ini kerana kebanyakan peniaga lama sudah mengetahui prosedur yang ditetapkan. Proses permohonan notis juga mudah dan tiada bayaran dikenakan, namun tidak dinafikan ada peniaga yang memandang remeh perkara ini," katanya.

Artikel Berkaitan: