'Saya tidak sesekali buat perjanjian...'

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan beliau tidak berjanji mahu membawa tuntutan pampasan seorang bekas pegawai polis, Md Ali Amir Batcha yang mendakwa ditahan secara salah dan dipecat secara tidak sah kepada perhatian Peguam Negara.

Abdul Hamid berkata demikian susulan kenyataan Md Ali yang mendakwa KPN berjanji akan mengemukakan tuntutannya kepada Peguam Negara, Tommy Thomas.

Kenyataan itu disiarkan sebuah portal berita selepas perjumpaan antara bekas pegawai polis itu dengan Abdul Hamid semalam.

Abdul Hamid berkata, dalam perjumpaan tersebut, Md Ali menyatakan dia menjadi mangsa fitnah dan juga ketidakadilan sistem perundangan kerana disekat oleh pihak tertentu daripada membuat rayuan ke atas kes penahanannya.

"Pihak polis telah menasihatinya untuk mengemukakan rayuan kerana itu adalah haknya di sisi Perlembagaan.

ARTIKEL BERKAITAN: KPN akan panggil bekas pegawai polis Md Ali Amir Batcha

'Tolonglah, saya hanya mahukan keadilan'


"Saya tidak sesekali membuat sebarang janji untuk mengangkat perkara ini kepada pihak Peguam Negara sebagaimana dakwaan beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hamid menambah, walau bagaimanapun, Md Ali berhak untuk meneruskan usaha menuntut keadilan berlandaskan prinsip 'natural justice'.

Md Ali sepertimana dilaporkan portal berita semalam berkata, KPN menerima penjelasannya dan polis mengalu-alukan serta melayannya dengan baik semasa pertemuan selama sejam selain dia turut mengemukakan dokumen untuk menyokong dakwaannya.

Baru-baru ini, Md Ali, 65, yang pernah bertugas dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Jenayah Berat (D9) menuntut kerajaan PH menubuhkan sebuah tribunal khas bagi menyiasat semula tuduhan berkaitan rompakan membabitkan dirinya pada tahun 90-an.

Md Ali mendakwa menjadi mangsa kepada satu konspirasi dan kini mahu buktikan dia tidak pernah terlibat dalam rompakan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Disember tahun lalu, Md Ali menuntut keadilan dan sedia dibicarakan semula di mahkamah selepas ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat (EO) pada 1997.

Dakwanya lagi, beliau menjadi mangsa konspirasi apabila dikenakan pertuduhan palsu menggunakan ‘saksi hantu’ oleh Unit Siasatan Dalaman berhubung salah laku rasuah di agensi itu.

Md Ali mendakwa, kejayaannya melumpuhkan kegiatan kongsi gelap di Johor sejak 1995 menjadi perangkap kepada dirinya kerana dipercayai jenayah terancang itu dilindungi oleh anggota polis berjawatan tinggi di negeri itu.