Ahmad Maslan kongsi tajuk berita, luahan sebagai pengguna Grab

Hantaran dimuat naik Ahmad di laman mikro Twitter miliknya.
Hantaran dimuat naik Ahmad di laman mikro Twitter miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Situasi ‘kelam kabut’ yang dialami pengguna perkhidmatan e-hailing semalam susulan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguatkuasakan ujian lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) secara drastik turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menerusi perkongsian terbaharu di laman Twitter miliknya hari ini, Ahmad memuat naik laporan sebuah akhbar tempatan mengenai masalah yang dihadapi ramai pihak terutamanya pengguna perkhidmatan e-hailing selepas kerajaan memperkenalkan peraturan baharu itu.

“Rakyat tunggu hampir dua jam, tambang naik lebih 50 peratus, e-hailing kelam kabut. Tindakan rejim #PH #DAP yang drastik susahkan rakyat. Menteri tidak tunai janji, pemandu teksi protes.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Grab diberi 3 bulan patuhi syarat operasi

“Antara tajuk berita. Mereka yang naik Grab tahu. Pagi ini pemandu Grab bawa saya dan bercerita,” tulisnya di Twitter.

Sinar Harian hari ini melaporkan, meskipun harga tambang perkhidmatan Grab meningkat bermula semalam, namun tinjauan mendapati harganya masih lagi rendah berbanding perkhidmatan teksi.

Terdahulu, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) menyifatkan tindakan kerajaan menguatkuasakan ujian lesen PSV terhadap pemandu e-hailing terlalu drastik dan menyusahkan pengguna.

Presidennya, Datuk Dr Jacon George berkata, keputusan yang dibuat itu seolah-olah tidak mengambil kira maklum balas daripada pengguna mengenai keputusan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk memberi tempoh tambahan tiga bulan kepada semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat ditetapkan termasuk mendapatkan PSV.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan bersetuju agar penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing dilaksanakan melalui pendekatan soft landing.