Agong berangkat ke Majlis Minum Teh Bersama Rakyat Malaysia di Madinah

Gambar dikongsikan di Instagram Istana Negara.
Gambar dikongsikan di Instagram Istana Negara.
A
A
A

MADINAH - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Minum Teh Bersama Rakyat Malaysia di sini.

Turut berkenan berangkat Anakanda Seri Paduka, Tengku Amir Nasser Ibni Sultan Abdullah dan turut hadir Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi Ahmad Irham Ikmal Hisham, serta Ketua Rombongan Haji Malaysia Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Seri Paduka berkenan meluangkan masa selama kira-kira sejam bertanya khabar serta beramah mesra dengan kira-kira 200 jemaah haji Malaysia, pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja dalam pelbagai sektor di sini.

Ini merupakan pertemuan kedua Seri Paduka dengan komuniti diaspora Malaysia di Timur Tengah selepas sesi bersama komuniti Malaysia di Abu Dhabi pada 12 hingga 14 Jun lepas.

Seri Paduka turut menzahirkan rasa puas hati bila bertemu dengan jemaah haji, pelajar dan rakyat Malaysia di sini dalam sesi pertemuan yang diadakan dengan kerjasama TH.

Bagai pepatah 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada', Sultan Abdullah berkenan mencemar duli pergi daripada meja ke meja untuk beramah mesra, bertanya khabar dan memberikan nasihat kepada rakyat Malaysia antaranya banyak minum air kerana cuaca panas pada masa ini di Tanah Suci.

Seri Paduka juga turut berkenan bergambar dengan rakyat Malaysia selain berkongsi pandangan tentang ibadah haji dan Tanah Suci.

Pada 12 Julai lepas Sultan Abdullah tidak dapat berangkat semasa pelepasan 483 jemaah haji dengan penerbangan KT06 kerana gering, dan Seri Paduka diwakili Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Artikel Berkaitan:

Sultan Abdullah berangkat ke Arab Saudi sempena lawatan khas ke negara itu bermula hari ini hingga 14 Julai dalam lawatan khas atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Seramai 30,200 jemaah haji dari Malaysia mengerjakan Rukun Islam Kelima itu pada musim haji tahun ini dibantu 640 petugas TH. - Bernama