Lantik Muhyiddin sebagai TPM langkah strategik

Muhyiddin
A
A

SHAH ALAM - Cadangan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) kekal stabil.

Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, ini kerana untuk memastikan 'status qou' pemimpin nombor dua negara kekal Melayu-Muslim, calon terbaik adalah daripada Bersatu kerana mereka mempunyai majoriti yang lebih berbanding Amanah.

"Jika calon Timbalan Perdana itu daripada Bersatu, tentu sekali Muhyiddin paling layak berdasarkan hieraki dalam parti, lagi pun beliau bekas Timbalan Perdana Menteri yang berpengalaman luas dalam kepimpinan negara.

"Kombinasi Anwar-Muhyiddin akan beri impak positif kepada Malaysia dan prestasi kerajaan PH itu sendiri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Anwar
Anwar

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa yang mencadangkan Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar nanti.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Yusri menegaskan pelantikan Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua negara itu juga akan memastikan Bersatu kekal relevan sebagai parti Melayu, khususnya untuk menyaingi UMNO.

"Husam seorang strategis yang agak pintar, untuk survival PH tentu sekali dia mengharapkan Bersatu kekal relevan," katanya.