PH tak hormat Raja-Raja Melayu?

Najmil Faiz
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang begitu bersungguh dalam bersolidariti untuk pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin jelas memperlihatkan mereka tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan Raja-Raja Melayu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang berasa pelik dengan tindakan itu, turut mempersoalkan di manakah pendirian PH semasa Raja Melayu dihina.

"Pada hari ini, Wan Ji berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan penangguhan hukuman penjara atas kesalahan menghasut.

“Hal ini sejurus selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan mengenai hukuman penjara setahun di bawah Akta Hasutan yang dikenakan terhadap Wan Ji.

“Persoalannya, mengapakah perlunya campur tangan politik dalam hal ini dan tindakan PH telah mencemarkan kedaulatan undang-undang serta institusi kehakiman negara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Najmil menegaskan, tiada rasionalnya pemimpin PH melindungi Wan Ji kerana dia terbukti bersalah di bawah Akta Hasutan.

Lebih menghairankan katanya, PH menuntut supaya Akta Hasutan dihapuskan supaya boleh memberi lagi ruang dan kebebasan kepada kelompok radikal dan liberal bersuara di Malaysia.

“Hari ini jelas di mata rakyat bahawa kerajaan PH tidak melindungi kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menjejaskan konsep pemisahan kuasa yang didukung selama ini serta menghakis keharmonian negara,” katanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam membenarkan penangguhan hukuman penjara setahun terhadap penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.

Wan Ji, 37, dihukum penjara setahun bermula tiga hari lalu, atas kesalahan menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Penangguhan perlaksanaan hukuman itu berkuatkuasa hari ini sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia