Oh rumah pertamaku, CTOS?

A
A
A

BAGUSLAH cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin supaya peminjam Perbadanan Tabung Pendidik Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam dapat membeli rumah pertama. Walaupun sebelum ini tiada peluang dengan mekanisme baharu yang dicadangkan maka dapatlah mereka membeli rumah pertama pula.

Bagi saya, cadangan itu hendaklah diperluaskan kepada semua. Bukan yang disenarai hitamkan oleh PTPTN sahaja tetapi bagi mereka yang disenarai hitam disebabkan kes-kes lain juga.

Sebab apa, rumah ini ialah keperluan asas kepada manusia. Bukan barang mewah semata-mata. Sebagai manusia, amat penting akan keperluan asas itu sebagai tempat berlindung mereka. Sempurna keperluan asas maka lengkaplah kehidupan asas mereka. Baru sempurna menjadi manusia.

Tanpa tempat berlindung tidak sempurnalah kehidupan asas manusia terutama dalam negara yang sepatutnya memberi kemudahan ini.

Mungkin itu langkah pertama daripada menteri yang patut dipuji. Cuma itulah, saya cadangkan diberi peluang kepada semua yang disenarai hitam untuk memiliki rumah pertama. Kalau boleh yang muflis pun patut diberi peluang untuk memiliki rumah pertama.Kajian

Kerajaan kena buat kajianlah. Boleh siasat, siapa yang memang belum pernah memiliki rumah pertama atau tidak. Keperluan asas ini hendaklah diberi kepada semua orang tidak kira bagaimana latar belakang kewangan mereka pun.

Jika kesempurnaan menjadi manusia dengan memiliki keperluan asas itu tidak diberi maka bagaimana kita hendak menguatkuasakan undang-undang jika mereka melakukan kesalahan. Pada pendapat saya, mereka perlu diberi cukup keperluan, sebelum mereka kemudian apabila menyalahi undang-undang, baru tindakan boleh diambil.

Sebagai contoh yang mudah, katakan ada orang tidak ada duit, kerja pun tidak ada, hidup merempat bersama keluarga. Kemudian kerana tidak tahan kelaparan, mencuri sebungkus roti. Lalu ditangkap polis.

Artikel Berkaitan:

Bolehkah kita menguatkuasakan menangkap orang itu, sekiranya keperluan asas yang sepatutnya untuk hidup dia sebagai manusia tidak dapat dipenuhi? Justeru, tidak patutlah dia ditangkap.

Itulah maksud saya berkenaan rumah pertama ini. Jadikan ia satu keperluan yang wajib kepada semua orang untuk memilikinya. Kerana pada hemat saya, masih ramai yang tidak dapat membeli rumah pertama sama ada disenarai hitam dan juga tidak cukup syarat kewangan.

Baru-baru ini, saya sempat berbual dengan seorang kawan. Bekerja sebagai penolong jurutera yang telah bekerja lama di sebuah syarikat lebuh raya. Katanya, sudah beberapa kali juga dia hendak membeli rumah tetapi tak berjaya.

“Belum buat pinjaman, ejen dah tolak siap-siap,” kata kawan saya.

“Kenapa tolak?” tanya saya.

“Aku beritahulah tentang pendapatan aku sebulan, komitmen aku dan tentang kerja aku. Kemudian ejen pun buat kira-kira dan beritahu, ada tak siapa-siapa boleh gabung pendapatan pula,” jawabnya.

“Oh lepas tu, nak gabung dengan siapa?” tanya saya.

“Tak adalah nak gabung dengan siapa-siapa. Aku pun bujang lagi,” kata kawan saya lagi.

“Kena kahwin cepat, cari bini yang kerja bagus,” usik saya kepadanya.

Dia hanya tersenyum kemudian menyambung kata: "Dah ejen tu kata begitu, aku pun tanyalah dengan gaji aku ni, rumah bagaimana dan harga berapa yang aku boleh beli.”

“Ejen tu jawab apa?’’

“Ejen tu kata, ‘baik encik, nanti kalau ada rumah yang sesuai untuk encik saya akan beritahu encik ya,’ hmm,” jawab kawan saya mengeluh kecewa pula.

“Tak cuba skim rumah pertama?" tanya saya pula.

“Skim rumah pertama pun ada syarat juga. Gaji minimum pun RM3,000 rasanya,” kata kawan saya lagi.

Inilah masalah yang saya maksudkan. Walaupun ada data menunjukkan banyak pinjaman diluluskan tetapi ramai juga yang masih belum memiliki rumah pertama. Yang boleh kerajaan buat ialah memberi kemudahan kepada semua warganegara Malaysia untuk memiliki rumah pertama.

Cadangan saya agar pinjaman dibuat dengan kerajaan dan dibayar kepada kerajaan seperti zaman dulu-dulu. Pinjaman dengan bank bukan mudah. Walaupun katanya senarai hitam dikecualikan, namun syarat lain akan dikenakan pula.

Dan keuntungan serta bunga yang dikenakan bank mungkin akan menjadi beban pula kepada pembeli rumah pertama. Maka eloklah kerajaan perumahan tempatan memperincikan perkara ini nanti.

Pada masa sama, saya nak tanya juga, kalau ada dalam CTOS bagaimana pula? Masih layak ke? Bukan apa, rumah banyak dibina, terbengkalai pun banyak nanti. Dan lagi yang tak dibeli pun akan banyak juga.