Terkejut terima berita kematian pelajar Nigeria

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CYBERJAYA - Seorang pelajar Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya yang berasal dari Nigeria yang mati dalam Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil mengejutkan sebahagian pelajar.

Tinjauan Sinar Harian mendapati walaupun aktiviti keluar masuk pelajar ke pusat pengajian itu dilihat seperti biasa namun, terdapat beberapa pelajar yang ditemui terkejut dengan berita kematian melibatkan pelajar di universiti itu.

Seorang pelajar, Yap Shir Lee, 31, ketika ditemui berkata, dia hanya mengetahui berita kematian seorang pelajar di univerisitinya selepas dimaklumkan oleh rakan serumahnya.

Menurutnya, rakannya terbaca berita mengenai kematian pelajar dari Nigeria sebelum memaklumkan kepadanya.

"Pada mulanya saya tak ambil peduli tetapi bila ada rakan-rakan sekelasnya memuat naik berita itu di laman Facebook baharu saya baca dengan lebih lanjut.

"Lebih terkejut bila rakan-rakan maklum terdapat kelas dibatalkan hari ini," katanya kepada Sinar Harian.

Shir Lee berharap keluarga mangsa tabah menerima berita yang tak diduga ini.

Seorang lagi pelajar dari Sudan, yang ingin dikenali sebagai Mohaz Raula, 37, berkata, dia terkejut apabila rakannya memberitahu terdapat kelas pada hari ini terpaksa dibatalkan dan akan berjalan seperti biasa Isnin nanti.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, dia tidak tahu atas sebab apa tetapi mungkin disebabkan kematian pelajar di universiti berkenaan.

Sementara itu, satu notis difahamkan telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan Universiti Lim Kok Wing memaklumkan bahawa semua kelas di universiti itu pada hari ini dibatalkan.