Pas Selangor pertahan keputusan mahkamah, institusi raja

Ahmad Yunus
Ahmad Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor kesal dengan tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berserta Solidariti Pemuda Pakatan Harapan kerana mempertikaikan keputusan mahkamah terhadap hukuman yang dikenakan terhadap penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin.

Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kenyataan Anwar itu seolah-olah mencabar keputusan institusi kehakiman di negara ini.

"Tindakan mempertikaikan keputusan mahkamah boleh memberikan gambaran yang sangat negatif kepada orang awam.

"Tindakan Solidariti Pemuda Pakatan Harapan mempertikaikan hukuman tersebut adalah amat tidak wajar, kerana hukuman penjara terhadap Wan Ji telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, keputusan tersebut harus dihormati oleh semua pihak.

"Dalam soal ini, Pas Selangor tetap mempertahankan Raja-Raja Melayu dan institusi kehakiman bertepatan dengan semangat Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Kedaulatan Undang-undang.

"Di manakah pengasingan kuasa yang dilaungkan oleh PH selama ini? Di manakah janji PH untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia, Rukun Negara, raja-raja dan Institusi Raja.

"Adakah PH tidak lagi memperjuangkan 'rule of law'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, 9 April 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Pada 10 September 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebooknya.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini jam 10 pagi, pada 5 November 2012.