13 burung bayan serindit dirampas

Burung bayan yang disimpan dalam sangkar dipercayai untuk dijual dirampas Perhilitan Johor dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Siput, Jementah, Segamat, semalam.
Burung bayan yang disimpan dalam sangkar dipercayai untuk dijual dirampas Perhilitan Johor dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Siput, Jementah, Segamat, semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 13 ekor burung bayan serindit dianggarkan bernilai kira-kira RM2,600 dirampas Jabatan Perhilitan Johor dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Siput, Jementah, Segamat, semalam.

Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, spesies burung dilindungi itu dirampas selepas didapati tiada sebarang dokumen pemilikan daripada jabatan yang dikemukakan.

Menurutnya, hasil maklumat awam, kira-kira jam 3.45 petang empat anggota penguatkuasa Jabatan Perhilitan negeri telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah.

"Hasil pemeriksaan menemui 13 ekor burung dipercayai bayan serindit yang disimpan dalam 13 sangkar besi dan plastik.

"Kami juga bertindak menyoal siasat seorang lelaki berusia 31 tahun selain mendapati burung berkenaan tidak memiliki dokumen yang sah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Salman berkata, mengikut siasatan awal, pihaknya percaya kesemua burung itu disimpan terlebih dahulu untuk dijual memandangkan harganya yang agak lumayan.

“Kita mengesyaki ia untuk dijual berikutan jumlahnya yang banyak. Seekor serindit boleh mencecah harga antara RM100 hingga RM200 bergantung kepada kecantikan warna bulunya," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] kerana memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa permit atau lesen yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.