X

Kindly register in order to view this article
!

Maqis tahan wanita Australia bawa masuk 2kg daging khinzir

Kesemua barangan yang dibawa oleh wanita berusia 58 tahun itu dirampas untuk siasatan.
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang wanita warga Australia ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) selepas didapati membawa masuk dua kilogram (kg) daging khinzir yang dilarang oleh kerajaan Malaysia.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, wanita berusia 58 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABPP) pada jam 8.35 malam semalam.

Menurutnya, selain daging tersebut, wanita itu juga didapati membawa masuk sembilan kilogram daging kambing, daging lembu (4.22 kg) dan keju sejuk beku (4kg) yang dianggarkan bernilai RM665.

"Daging khinzir tersebut adalah barang larangan untuk dibawa masuk ke negara ini. Kerajaan Malaysia mengeluarkan larangan itu kerana penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF) melalui daging tersebut.

"Tujuan larangan daging ini diimport adalah untuk menghalang risiko kemasukan penyakit ASF ke Malaysia dan merosakkan industri penternak negara.

"Selain daripada larangan pengimportan, kemasukan daging dan produk yang berasaskan daging tersebut yang dibawa oleh penumpang di laluan udara juga dilarang," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti khinzir hidup, daging khinzir segar, daging khinzir sejuk beku, daging khinzir proses (khinzir salai, sosej dan sebagainya).

"Perbuatan mengimport tanpa permit yang sah dari Maqis adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). Ia juga boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (3) akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya. MAQIS akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan tercemar.

"Kita juga akan memastikan barangan yang diimport tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus