Imigresen gempur restoran eksklusif, rumah kongsi

Antara PATI yang ditahan -Foto Imigresen
Antara PATI yang ditahan -Foto Imigresen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menggempur enam buah restoran eksklusif dan sebuah rumah kongsi di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Impian Indah, di sini, malam tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi Ops Belanja dan Ops Sapu ini dijalankan bermula jam 9 malam bertindak hasil maklumat dan aduan yang diterima pihaknya.

Menurutnya, menerusi operasi ini, 161 orang diperiksa dan hasilnya seramai 106 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima wanita berusia lingkungan 25 hingga 38 tahun ditahan.

"Semakan mendapati PATI itu terdiri daripada 46 warga Bangladesh, Yaman (14), Indonesia (23), Syria (9), Pakistan (8), Afghanistan (2) dan masing-masing seorang dari Iraq, Palestin, Myanmar dan Mesir.

Restoran eksklusif antara lokasi yang diserbu Imigresen -Foto Imigresen
Restoran eksklusif antara lokasi yang diserbu Imigresen -Foto Imigresen

"Operasi ini turut menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an dipercayai adalah majikan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Hamidi berkata, semasa operasi, terdapat segelintir PATI ini cuba bersembunyi dan melarikan diri bagi mengelak ditahan, namun tindakan itu hanya sia-sia apabila anggota serbuan bertindak dengan cekap.

Tambahnya, PATI ini dikesan melakukan kesalahan menyalahgunakan pas dan permit, tinggal lebih masa selain gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63," katanya.