Boustead Holdings lantik 4 pengarah baharu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Boustead Holdings Bhd (BHB) hari ini mengumumkan pelantikan empat pengarah bebas bukan eksekutif baharu yang mewakili pelbagai latar belakang, berkuat kuasa 15 Julai ini.

Mereka adalah Leftenan Jeneral (B) Datuk Fadzil Mokhtar, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi, Abraham Verghese dan Loong Caesar.

"BHB mengalu-alukan kehadiran barisan individu berjaya ini dalam Lembaga Pengarah. Kumpulan ini pasti mendapat manfaat daripada latar belakang serta pengalaman luas mereka.

"BHB juga dijangka menyaksikan momentum yang positif dengan adanya ahli Lembaga Pengarah yang pelbagai pengalaman ini," kata kumpulan dengan pelbagai cabang perniagaan yang dikuasai oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil yang pernah berkhidmat melebihi 41 tahun dalam angkatan tentera Malaysia dan turut berpengalaman luas dalam aspek menangani cabaran keselamatan.

Nonee Ashirin yang juga Pengerusi syarikat penyedia khidmat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih untuk enjin tentera dan awam, Global Turbine Asia Sdn Bhd, memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam industri aeroangkasa dan pertahanan.

Beliau yang juga Barrister-at-law di Lincoln's Inn, London, turut menggalas tanggung jawab sebagai rakan kongsi di firma guaman Arthur Yeong Nonee Ashirin Advocates & Solicitors.

Dalam pada itu, Verghese yang merupakan pengarah bebas Lembaga Pengarah syarikat pemaju hartanah Tadmax Resources Bhd, pula berpengalaman luas dalam perakaunan, perundingan audit dan kewangan.

Artikel Berkaitan:

Beliau pernah bertugas sebagai rakan kongsi global Arthur Andersen pada 1997 hingga 2001 dan rakan kongsi di Ernst & Young pada 2002 hingga 2016.

Selain itu, Loong adalah pengasas dan rakan pengurusan firma guaman Raslan Loong, Shen & Eow dengan kerjaya guaman selama 34 tahun dan turut menjadi ahli Lembaga Pengarah kumpulan hartanah dan hospitaliti, Mulpha International Bhd.

Pelantikan ini dibuat selepas berlakunya rombakan Lembaga Pengarah anak syarikat BHB dengan 65 peratus kepentingan, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd yang menyaksikan penambahan enam pengarah bukan eksekutif serta peletakan jawatan dua pengarah bukan eksekutif berkuat kuasa pada 10 Julai. - Bernama