Mana lebih utama, sedekah atau zakat?

No Image Caption
A
A
A

Setiap umat Islam sangat dambakan kehidupan yang bahagia dan berkat serta diredai oleh ALLAH SWT. Justeru, kita digalakkan untuk melakukan amal ibadah tidak kira ibadah itu wajib mahupun sunat.

Jika kita memperbanyakkan amalan sunat maka pahala akan berganda ganjarannya. Manakala, jika kita wajib melakukan sesuatu ibadah itu maka ALLAH SWT akan memberi keberkatan dan keredaan dalam hidupnya melalui apa yang diperintahkan.

Sebagaimana sebuah hadis daripada Abdullah Bin Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Yang bermaksud: “Islam ditegakkan di atas lima perkara iaitu bersyahadah bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan bahawa Nabi Muhammad ini Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dalam bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan menunaikannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apakah perbezaan sedekah sunat dan sedekah wajib? Mana perlu diutamakan? Sedekah sunat adalah pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan secara sukarela dan ikhlas tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Manakala sedekah wajib adalah ibadah zakat yang bermakna mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan-golongan tertentu.

Ini bertepatan dengan firmanALLAH SWT. dalam Surah At-Taubah ayat 60:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan ALLAH, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada ALLAH. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Artikel Berkaitan:

Tetapi keadaan masa kini masyarakat lebih mengutamakan sedekah daripada ibadah zakat, di mana sedekah yang diberi dianggap dan diniatkan sebagai zakat.

Sebagai contoh, seseorang itu bersedekah di tabung masjid, beri wang kepada anak-anak yatim, kaum kerabat, orang kurang upaya ataupun ibu tunggal.

Untuk pengetahuan semua, beri wang kepada golongan yang bukan asnaf merupakan sedekah sunat sahaja bukan tergolong sebagai ibadah zakat.

Maka, ibadah zakatnya tidak sempurna dan masih tergantung ibadahnya hanya memperoleh pahala sunat sahaja bukannya wajib.

Ini kerana, ibadah zakat hanya orang tertentu sahaja yang layak menerima zakat iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.

Sebagaimana termaktub di dalam al-Quran Surah At-Taubah ayat 60 tersebut. Kadang-kadang masyarakat akhir-akhir ini mempertikai dan memperlekeh tentang sedekah yang diberikan sebagai zakat seperti:

“Ah, aku dah bayar zakat lah kepada anak yatim”

“Aku dah niat beri zakat kepada saudara aku yang susah tempoh hari”

“Sahaja aku berzakat di tabung masjid ini kerana ALLAH Taala”

“Lebih baik aku bayar zakat kepada orang susah terus, nampak juga agihannya”

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail, ibadah sedekah dan zakat adalah dua elemen ibadah yang berbeza dari segi hukum dan agihannya.

Sedekah ini kita boleh beri kepada sesiapa yang kita mampu berikan, manakala zakat pula hanya golongan tertentu sahaja yang layak diberikannya zakat.

No Image Caption

"Dalam kes ini, kebanyakan masyarakat beranggapan bahawa apabila kita berniat mengeluarkan zakat kepada orang yang kita ingin berikan, lalu kita berikannya terus kepada seseorang itu, tanpa adanya siasatan dan selidik dari segi had kifayah iaitu menentukan garis kemiskinan seseorang, maka zakatnya adalah tidak sah dan berdosa.

“Dikhuatiri kita berikan zakat itu adalah sedekah sunat sahaja bukannya sedekah wajib (zakat), maka kita masih berhutang dengan ALLAH SWT atas pengagihan yang tidak menepati syarak. Oleh itu, ibadah zakat kita masih tergantung dan tidak sempurna sekali gus tidak terlepas daripada menunaikan kewajipan yang diperintahkan oleh ALLAH SWT," katanya.

Menurut Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-76 yang bertarikh 21-23 November 2006, dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak sahaja, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara-perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib.

Ini telah termaktub dalam firman ALLAH SWT Surah An-Nisa’ ayat 59, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) ALLAH (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Abdul Halim berkata, masyarakat Islam perlulah lebih peka terhadap kewajipan mengeluarkan zakat dan pengagihan zakat itu sendiri, terutamanya dalam hal yang berkaitan pengagihan zakat secara persendirian khususnya.

“Ibadah zakat haruslah ditunaikan terus kepada amil pemerintah iaitu kepada institusi zakat yang diberi tanggungjawab untuk memungut dan mengagihkannya, di mana jumlah zakat yang dikumpulkan akan menjadi lebih besar.

“Lalu pengagihannya pun akan menjadi lebih banyak dan boleh memberi manfaat kepada semua golongan asnaf yang lapan daripada perolehan zakat tersebut, sekaligus dapat diagihkan secara menyeluruh, adil dan saksama,” katanya.

Oleh yang demikian, masyarakat yang mampu menunaikan kewajipan dituntut oleh syariat Islam tanpa keraguan. Keadaan ini akan menggalakkan golongan asnaf yang dibantu dapat meningkatkan taraf hidup mereka dan secara tidak langsung ekonomi umat Islam akan lebih bertambah mantap seterusnya memantapkan juga ekonomi negara Islam secara menyeluruh. InsyaALLAH.

Sebarang pertanyaan tentang info zakat bolehlah layari www.izakat.com atau boleh menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka.

Harith Hassan

Eksekutif Kempen & Publisiti,

Zakat Melaka