Dakwaan rogol: Usah pertikai tugas polis tahan Exco

Status dimuat naik Lip Eng kelmarin yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap penahanan Exco Perak dalam kes rogol amah.
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menempelak kenyataan Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng yang mempertikaikan tindakan polis dalam kes rogol melibatkan Exco Kerajaan Perak.

Katanya, penahanan oleh pihak polis berhubung setiap aduan merupakan proses biasa bagi membolehkan pihak berkuasa itu menjalankan siasatan.

“Saya terkejut membaca kenyataan seorang Ahli Parlimen DAP yang mempertikai penahanan Exco Kerajaan Perak dalam kes rogol amah atas alasan seseorang tidak harus dianggap bersalah sebelum dibuktikan bersalah.

“Jika rakyat biasa pun ditahan untuk siasatan, Exco berkenaan pun tidak boleh terlepas daripada melalui proses yang sama,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan itu bukan bermaksud beliau telah didapati bersalah, tetapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melengkapkan siasatan.

“Saya percaya seperti kes lain, terdapat ruang untuk pertimbangan ikat jamin. DAP perlu ingat dalam undang-undang, setiap orang adalah sama.

“Tidak ada penjenayah yang akan mengaku melakukan jenayah. Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas dan biarlah mahkamah membuat pengadilan.

"Kita jangan lupa bahawa rakyat akan memerhati sama ada kes ini akan diteruskan kepada pendakwaan atau fail siasatan akan diletakkan sebagai 'no futher action',” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah dibebaskan

Terdahulu, Exco DAP Perak, Paul Yong Choo Kiong yang dikaitkan dengan siasatan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, tangkapan terhadap ADUN itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima daripada mangsa berusia 23 tahun yang mendakwa dirogol di rumah majikannya di Meru, Jelapang.

"Pihak polis telah membuat tangkapan terhadap Exco berkenaan semalam dan juga membuat pemeriksaan doktor terhadap suspek bagi tujuan siasatan.

"Setelah selesai, suspek berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, berdasarkan bukti awal siasatan, polis mengklasifikasikan kes tersebut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Siasatan forensik dijalankan di tempat kejadian dan beberapa bukti telah diambil untuk dianalisa.

"Percakapan beberapa saksi berkaitan termasuk ahli keluarga Exco berkenaan turut diambil," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya masih Exco, tak ada sebab untuk berehat: Paul Yong

Terkini, Paul Yong masih menjalankan tugasnya sebagai Exco seperti biasa

Paul Yong hadir menjalankan tugas seperti biasa di pejabatnya di Aras 1 Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Beliau tiba sekitar jam 9.15 pagi tadi diiringi ADUN Buntong, A Subramaniam dan peguamnya, Leong Cheok Keng dengan berpakaian sut berwarna kelabu.

Media difahamkan, ADUN Tronoh itu mahu menyelesaikan beberapa perkara penting berkaitan urusan kerajaan negeri yang tertangguh sejak kes berkenaan dilaporkan, Selasa lalu.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata, tiada sebab untuknya 'berehat' daripada menjalankan tugas Exco memandangkan perkara itu belum dapat dibuktikan kebenarannya dan ia masih di peringkat awal siasatan.

"Tiada apa yang berlaku kepada saya, jadi tidak perlu bertanya sama ada saya boleh meneruskan kerja atau tidak.

"Saya masih Exco... sebaik-baiknya kita serah kepada polis jalankan siasatan dan saya sendiri yakin profesionalisme polis, apabila siasatan selesai dan dapati bersalah, maka bersalah.

"Jika tak bersalah, tidaklah... biar masa menentukan segala-galanya," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia