NGO beri taklimat pembebasan tahanan rakyat Sarawak dari penjara Kemboja

Mustapha (dua dari kiri) bersama Abang Johari (dua dari kanan) ketika kunjungan hormat NGO itu semalam.
A
A

KUCHING - Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican memberi taklimat ringkas berkaitan pembebasan 47 tahanan rakyat Malaysia dari Penjara Kemboja Februari lalu kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Taklimat tersebut diberikan sempena kunjungan hormat Mustapha ke atas Ketua Menteri itu di pejabat Abang Johari di sini semalam.

Mustapha berkata, pembebasan warga Malaysia itu melibatkan 40 rakyat Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: 47 tahanan warga Malaysia dibebaskan

Kunjungan tersebut turut disertai Pengarah Kementerian Luar Negara Cawangan Sarawak, Deddy Faisal dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Pada Februari lalu, 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey, Kemboja telah dibebaskan selepas beberapa perundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Mustapha yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen setelah mendapati semua tahanan itu telah ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan.

Wisma Putra sebelum itu mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Disember tahun lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.