Warga emas didakwa cabul guru muzik

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang guru muzik, awal bulan lepas.

Tertuduh, Lam Kok Wai, 66, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin yang mendengar sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang merupakan seorang guru muzik berusia 38 tahun dengan maksud mencabul kehormatannya di satu lorong jualan belakang sebuah pasar raya di Perai di sini pada 5.50 petang, 2 Jun lepas.

Warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Afiq Hizami Nordin manakala tertuduh diwakili peguam Chiang Kian Hong. - Bernama

Artikel Berkaitan: