Takut ditangkap, pesara ‘serah’ RM10,000

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Disebabkan terlalu takut ditangkap kerana didakwa terlibat dengan jenayah, seorang warga emas sanggup kerugian apabila menyerahkan RM10,000 kepada ahli sindiket yang menyamar sebagai polis.

Kejadian berlaku pada Khamis lalu, apabila mangsa yang juga pesara menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Koperal Izan, kira-kira jam 2 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 72 tahun itu terkejut apabila dimaklumkan terdapat waran tangkap dikeluarkan atas namanya.

“Waran itu dikeluarkan kerana mangsa terlibat dengan internet judi haram dan penggubahan wang haram. Suspek kemudian meminta maklumat bank dan mangsa memaklumkan jenis bank serta jumlah wang di dalam setiap akaun bank miliknya.

“Talian tersebut disambungkan kepada seorang lelaki yang dikenali Inspektor Zahari dan pegawai terbabit meminta mangsa mengeluarkan wang di dalam Tabung Haji miliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir menjelaskan, mangsa juga diminta memasukan wang ke dalam akaun bank RHB atas nama Norfiah Idris sebanyak RM10,000 bagi memastikan wang tersebut tidak terlibat dengan penggubahan wang haram.

“Pada Jumaat lalu, Inspektor Zahari sekali lagi meminta pengadu memasukkan semua wangnya ke akaun yang sama untuk membuat semakan, jika wang mangsa terlibat dengan penggubahan wang haram.

“Namun mangsa enggan berbuat demikian kerana merasakan dirinya ditipu. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek ialah dengan menyamar sebagai pegawai polis dan memperdaya pengadu hingga pengadu memasukkan wang.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, rakaman percakapan mangsa sudah dilakukan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.