Kemas buka 50 tabika transit tahun ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan membuka 50 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Transit di seluruh negara tahun ini bagi memenuhi permintaan ibu bapa.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa berkata, projek rintis berkenaan adalah program baharu kementerian itu bagi memenuhi permintaan ibu bapa yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar.

"Tahun lalu, kita ada 27 Tabika Transit dan pada masa ini, 50 lagi Tabika Transit tambahan sedang dan hampir siap dibina pada tahun ini.

"Dengan adanya 77 Tabika Transit di seluruh Malaysia termasuk 10 di Kelantan, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ibu bapa yang bekerja yang tidak perlu berkejar mengambil anak semasa dan selepas waktu bekerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Kemas Peringkat Negeri Kelantan 2019 yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Kemas Abdul Kahar Abdullah dan Pengarah Kemas Kelantan Anuar Mat Zain di Padang Perdana di sini, hari ini.

Sivarasa berkata, Tabika Transit juga menyediakan waktu pembelajaran kepada kanak-kanak bagi menjalankan aktiviti yang sesuai dengan peringkat umur mereka.

"Kita ingin melihat cabaran (yang terdapat dalam Tabika Transit) dan mencari kaedah untuk menyelaras dan memperhalusinya dalam pelbagai aspek termasuk keperluan ibu bapa, bajet, dana serta pembayaran gaji kepada kakitangan.

“Bayaran yang ditetapkan untuk kemasukan di Tabika Transit adalah bergantung kepada bilangan kanak-kanak dan kemampuan ibu bapa bermula dari RM50 hingga RM250 untuk setiap kanak-kanak,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: