RM925 juta dana berkaitan 1MDB sudah dikembalikan: Guan Eng

 Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan sebanyak RM925 juta dana berkaitan 1Malaysia Delevopment Berhad (1MDB) telah dikembalikan kepada kementeriannya setakat ini.

Menurut Guan Eng lagi, hasil penjualan Hotel Park Lane, New York bernilai RM567.8 juta dan wang yang dirampas daripada syarikat pembikinan filem Red Granite berjumlah RM238 juta yang dipulangkan oleh Amerika Syarikat merupakan antara dana terbesar yang berjaya diperoleh kembali.

Selain itu, turut tersenarai dalam dana berkaitan 1MDB yang dikembalikan tersebut adalah wang yang dipulangkan oleh Singapura berjumlah RM92.3 juta manakala baki yang lain adalah daripada 1MDB sendiri berjumlah RM20.9 juta serta Yayasan 1MDB berjumlah RM6.1 juta.

"Pihak berkuasa negara,termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara, berserta dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara, sedang

meneruskan usaha agar dana yang diselewengkan dapat dikembalikan.

"Ia bagi membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM51 bilion,termasuk faedah pinjaman akan datang, yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Guan Eng turut menegaskan bahawa dana berjumlah RM925 juta di atas tidak termasuk hasil jualan Kapal Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd sebanyak USD126 juta atau kira-kira RM527.4 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada pihak mahu pulang wang 1MDB

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, hasil jualan tersebut telah diterima sepenuhnya pada 23 April 2019 dan kini disimpan di dalam Sheriff's Stakeholder Account (dalam sebuahsyarikat guaman terkemuka di Malaysia) untuk tempoh tiga bulan bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah.

"Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terlibat dijangka akan dideposit ke dalam Recovery Account milik 1MDB atau Kementerian Kewangan pada bulan Ogos 2019.

"Bila diterima USD126 juta ini kelak, wang dana ini akan digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang 1MDB," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengurusan Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd (Kojadi) yang turut dikaitkan menerima dana daripada 1MDB, Guan Eng memuji tindakan pengerusi koperasi itu, Ng Peng Hay kerana berusaha untuk mengembalikan wang tersebut.

"Kojadi perlu mengambil iktibar daripada usaha berani Peng Hay untuk memulangkan semula wang kepada Yayasan 1MDB demi membersihkan nama Kojadi.

"Komitmen Peng Hay untuk melakukan perkara yang betul dengan berusaha memulangkan wang kepada Yayasan 1MDB, sungguhpun berhadapan dengan pelbagai tindakan ke atasnya harus dipuji," katanya.

Pada 3 Julai lalu, SPRM telah membekukan akaun bank Kojadi kerana didakwa turut menerima dana daripada 1MDB.