GTSM gesa Kementerian Pengangkutan lebih tegas

Kamarudin
Kamarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) menggesa Kementerian Pengangkutan untuk lebih tegas dalam pelaksanaan peraturan e-hailing berikutan masih terdapat pemandu-pemandu terbabit yang tidak mempunyai dokumen lengkap masih dibenarkan beroperasi.

Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, mengikut apa yang dijanjikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini, penguatkuasaan terhadap e-hailing akan bermula pada 12 Julai 2019 iaitu hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya selepas jam 12 tengah malam tadi, pihak penguatkuasaan akan menguatkuasakan undang-undang kepada semua pemandu-pemandu kenderaan e-hailing yang masih tidak mempunyai dokumen lengkap dan tiada lagi istilah dalam proses atau sebagainya.

Menurutnya, hanya pemandu kenderaan e-hailing yang mempunyai dokumen lengkap sahaja dibenarkan beroperasi, manakala pemandu yang masih tidak mempunyai dokumen lengkap atau masih dalam proses melengkapkan adalah tidak dibenarkan sama sekali memandu kenderaan e-hailing.

"Istilah masih dalam proses tidak boleh diterima... Jika perkara itu berlaku, ia jelas menyalahi undang-undang dan pihak penguatkuasaan perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka-mereka yang terlibat dan bersubahat termasuk syarikat aplikasi yang membenarkan pemandu terbabit beroperasi di platform mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu e-hailing harus ikut peraturan mulai 12 Julai

"Jika kementerian masih berkompromi dan memberi kelonggaran, itu jelas membuktikan Anthony Loke tidak mengamalkan prinsip menjunjung kedaulatan negara dan telah membuat satu lagi pusingan U," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, beliau berharap pihak kementerian juga dapat memastikan semua syarikat-syarikat aplikasi menghormati keputusan kerajaan dan membantu menangani isu e-hailing dengan tidak membenarkan mana-mana pemandu yang masih tidak mempunyai dokumen lengkap atau masih dalam proses melengkapkan tidak boleh beroperasi dengan menggunakan aplikasi mereka.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jika syarikat aplikasi dengan sengaja membenarkan pemandu-pemandu kereta sapu e-hailing yang masih tidak mempunyai dokumen lengkap beroperasi dengan menggunakan aplikasi mereka, itu jelas membuktikan mereka tidak menghormati keputusan kerajaan dan sengaja sekali lagi mencabuli kedaulatan undang-undang negara.

"Kerajaan tidak boleh berkompromi lagi dengan mana-mana syarikat aplikasi yang masih membenarkan pemandu-pemandu kenderaan e-hailing yang tidak mempunyai dokumen lengkap beroperasi di aplikasi mereka.

"Tindakan tegas perlu diambil kepada pemandu-pemandu kenderaan e-hailing yang beroperasi secara haram, malah tindakan tegas termasuk pengharaman juga perlu diambil kepada mana-mana syarikat aplikasi yang terlibat membenarkan pemandu-pemandu kenderaan e-hailing yang masih tidak sah beroperasi di aplikasi mereka," katanya.

Katanya, pihaknya percaya hanya tindakan tegas sahaja mampu menyelesaikan isu pengoperasian kereta sapu e-hailing haram, namun tindakan tersebut perlu diambil kepada kedua-dua pihak dan tidak hanya terjurus kepada pemandu kendeaan e-hailing haram sahaja.

Kamarudin berkata, sekiranya kementerian tidak mengambil serius perkara ini, GTSM tidak akan teragak-agak untuk mengadakan satu lagi perhimpunan besar-besaran di ibu negara untuk mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuktikan mereka sebuah kerajaan yang bersih serta mengamalkan prinsip 'Rule Of Law' dengan merehatkan Anthony Loke dari Kementerian Pengangkutan.