Jangan perjudikan nyawa anak

A
A

Pemasangan kerusi keselamatan berkualiti terbukti mampu menyelamatkan si kecil

KES yang berlaku membabitkan bayi dan kanak-kanak meninggal dunia akibat tercampak keluar dari kenderaan semasa berlakunya kemalangan memang sering dilaporkan pihak media. Kerusi keselamatan kanak-kanak yang merupakan salah satu aksesori pula dipandang sebelah mata oleh kebanyakan pengguna kenderaan yang mempunyai anak kecil.

Baru-baru ini, Sinar Turbo berpeluang bertanyakan pendapat beberapa ibu mengenai keengganan mereka menggunakan cagak dalam kenderaan itu. Antara alasan diberikan ialah anak tidak mahu duduk dan menangis sepanjang perjalanan.

Daripada membiarkan si kecil meraung, si ibu biasanya akan beralah lalu memangku atau membiarkan anak dipegang penumpang lain.

Lagi alasan lain yang kerap diberikan ialah 'tempoh kegunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang pendek', 'si kecil cepat membesar', 'mahal' dan macam-macam lagi. Pun begitu, ramai juga ibu bapa yang mementingkan nyawa anak tersayang.






PASTIKAN pemasangan tali pinggang kerusi keselamatan anak dilakukan dengan betul.
PASTIKAN pemasangan tali pinggang kerusi keselamatan anak dilakukan dengan betul.

Bagi mereka, tempat duduk itu merupakan satu keperluan dan bukannya pilihan. Bak pepatah Melayu 'biar anak menangis hari ini daripada kita menangis di kemudian hari'.

Kesedaran orang ramai tentang kepentingan keperluan kerusi kanak-kanak itu telah membuatkan para pengeluar bersaing hebat antara satu sama lain.

Bagi penulis, sebanyak mana persaingan pun, yang penting, inovasi yang dihasilkan selamat, selesa dan mesra kanak-kanak. Untuk memastikan ketulenannya lebih terjamin, produk yang dihasilkan wajib melalui Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia.

Sebenarnya, kerusi keselamatan kanak-kanak yang terbaik haruslah mempunyai kemampuan untuk dipasang dengan kemas di dalam kereta. Dengan erti kata lain, ia mesti menepati piawaian antarabangsa untuk pemasangan tempat duduk kanak-kanak dalam kenderaan atau ISOFIX.

Selain itu, biasanya ia juga mempunyai pemegang untuk membolehkan anda membawa si kecil dengan mudah sewaktu di luar kenderaan. Pada minggu ini, Sinar Turbo akan berkongsi dengan pembaca panduan dan tip-tip memilih kerusi kanak-kanak dalam kenderaan.

Diharap ia dapat dijadikan sebagai panduan untuk memudahkan pengguna memilih tempat duduk keselamatan kanak-kanak yang sesuai, selain beberapa aspek yang perlu diberi penekanan seperti:

Ciri keselamatan

Ciri keselamatan ialah faktor yang paling penting dalam memilih kerusi. Pengeluar yang bertanggungjawab biasanya memastikan produk keluaran mereka melepasi piawaian keselamatan yang ditetapkan sebelum dipasarkan.

Tempat duduk yang menghadap ke belakang ialah jenis yang terbaik untuk bayi. Jadi, sebaiknya posisi itu dikekalkan selama yang boleh kecuali bila anak sudah semakin membesar.

Pastikan tempat duduk itu mempunyai berat yang lebih dan had ketinggian yang sesuai dengan anak-anak yang sedang membesar.

Ada juga model yang membolehkan ia dipusingkan posisinya ke hadapan. Jadi, bila anak sudah semakin membesar, anda masih boleh menggunakan tempat duduk yang sama untuk kegunaan beberapa tahun akan datang. Boleh jimat bukan?

Pelarasan tali pinggang

Pilih tempat duduk dengan fungsi tali pinggang boleh laras agar boleh disesuaikan dengan berat kanak-kanak. Tali pinggang keselamatan tempat duduk itu sebaiknya mempunyai ciri yang mana ia mampu diketatkan dengan hanya menggunakan sebelah tangan sewaktu memandu.

Perehat kepala boleh laras juga membolehkan kanak-kanak menggunakan tempat duduk tersebut dengan lebih lama. Tempat duduk bayi pula biasanya mempunyai pelindung ataupun kanopi. Ia melindunginya daripada elemen cahaya matahari.

Ketahanan

Kerusi bayi atau kanak-kanak biasanya direka agar boleh dipadankan dengan kemas di dalam kereta. Pastikan ia memenuhi piawaian.

Selepas mendapatkan kerusi keselamatan yang betul dan berkualiti, pastikan cara pemasangannya betul. Kebanyakan ibu bapa meletakkan kerusi bayi di tempat duduk sebelah pemandu, sedangkan ia salah!

Berikut ialah panduan pemasangan yang betul:

  • Kesemua kerusi keselamatan bayi harus dipasang menghadap belakang dan diketatkan menggunakan tali pinggang keledar kereta dengan sistem pepenjuru. Bahagian tali pinggang peha pula dipasangkan dengan kaedah tiga penjuru dengan sistem asasnya sudah sedia ada pada kerusi terbabit.
  • Kerusi keselamatan bayi tidak boleh dipasang pada tempat duduk hadapan kerana kenderaan kini dilengkapi beg udara. Ia membahayakan nyawa bayi.
  • Tempat paling baik dan sesuai ialah kerusi tempat duduk belakang, di bahagian tepi sebelah kiri. Tolak tempat duduk penumpang hadapan lebih ke depan untuk memberi ruang antara kerusi bayi dengan tempat duduk itu. Jangan sekali-kali merapatkan kerusi penumpang hadapan dengan kerusi bayi.
  • Kesemua kerusi keselamatan bayi mempunyai tali pinggang. Ia sangat penting untuk keselamatan. Bagaimana tali pinggang disesuaikan bergantung kepada jenama dan model kerusi itu. Pun demikian, kebanyakannya mempunyai satu tali untuk ditarik. Dengan menarik satu tali itu, keseluruhan tali pinggang boleh disesuaikan dengan mudah.
  • Apabila sudah bersedia memulakan perjalanan bersama bayi, tali pinggang bayi hendaklah cukup ketat hingga dua jari sahaja boleh masuk antara tali di bahagian bahu dengan tulang bahu bayi. Tali pinggang kerusi bayi perlulah berada rapat dengan badan bayi. Ia seharusnya dipasang melalui dua slot di belakang kerusi, setara atau bawah sedikit dari ketinggian bahu bayi anda.
  • Sebelum bayi anda lahir, kerap berlatih memasang kerusi kereta bayi. Itu dapat membantu anda berasa lebih yakin apabila benar-benar menggunakannya kelak. Jangan tunggu hingga bayi anda lahir baru hendak belajar memasangnya.
  • Sebelum memulakan perjalanan pastikan bayi anda kenyang. Elakkan mengangkat bayi sekiranya menangis. Biarkan saja kerana lama-kelamaan bayi akan selesa dan tidur lena sepanjang perjalanan.
 PEMILIHAN kerusi kanak-kanak mesti menepati piawaian antarabangsa atau ISOFIX.
PEMILIHAN kerusi kanak-kanak mesti menepati piawaian antarabangsa atau ISOFIX.

Mesra pengguna

Selain boleh dilaraskan mengikut kesesuaian, kerusi keselamatan kanak-kanak juga mestilah mesra pengguna. Dengan kata lain, ia mesti mudah dipasang dan dibuka bila tidak diperlukan.

Ada sesetengah kereta mempunyai kelengkapan untuk memasang tempat duduk kanak-kanak dan ada yang tiada. Pilih yang terbaik untuk disesuaikan dengan kereta. Ada juga yang mempunyai kusyen yang boleh ditanggalkan untuk memudahkan kerja mencuci. Itu juga merupakan satu kelebihan.

Elak beli kerusi terpakai

Tempat duduk bayi terpakai yang dibeli di half cut biasanya jauh lebih murah daripada harga asal. Ia mungkin kelihatan menguntungkan, tetapi ia boleh menggadaikan nyawa anak anda!

Bukan setakat tidak lengkap dengan buku manual yang sangat penting untuk pemasangan yang betul, tetapi tempat duduk bayi atau kanak-kanak itu mungkin boleh hilang bahagian penting.

Contohnya, jika terlibat dalam kemalangan ia boleh menjejaskan fungsi kerusi itu, tidak patuh standard keselamatan semasa atau telah ditarik balik disebabkan reka bentuk yang rosak.

Tambahan pula, bahan plastiknya mungkin menjadi rapuh seiring usia. Jadi tempat duduk bayi atau kanak-kanak yang usang tidak dapat membantu kerana ia boleh pecah jika berlaku kemalangan.

Di samping itu, untuk mengelakkan bahaya penuaan plastik, disyorkan untuk memilih tempat duduk bayi atau kanak-kanak yang berumur kurang daripada lima tahun.

Biasanya anda boleh menemui tarikh luput pada tempat duduk bayi atau kanak-kanak tersebut.

 MUDAH dibawa dan dipasang semula merupakan satu kelebihan.
MUDAH dibawa dan dipasang semula merupakan satu kelebihan.