Treler terbabas, pemandu maut tersepit

Anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mayat mangsa tersepit di bahagian hadapan tempat pemandu lori di Kilometer 48, Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli, Gerik malam semalam.
Anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mayat mangsa tersepit di bahagian hadapan tempat pemandu lori di Kilometer 48, Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli, Gerik malam semalam.
A
A
A

GERIK - Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan itu terbabas ke dalam longkang, di Kilometer 48, Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli, arah ke Timur di sini malam semalam.

Mangsa, Nik Hassan Mustafa,47, yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan disahkan maut di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah akibat tersepit.

Ketua Operasi Balai Bomba Gerik, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Nizam Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan awam pada jam 8 malam tadi membabitkan kemalangan itu.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati terdapat sebuah treler membawa muatan papan terbabas ke dalam longkang lebuh raya itu menghala ke Gerik dari Jeli, Kelantan.

"Pemeriksaan anggota kami mendapati pemandu tersepit di bahagian hadapan tempat pemandu.

"Operasi untuk mengeluarkan mangsa terpaksa menggunakan kenderaan awam iaitu sebuah treler dilengkapi rantai besi untuk menarik kenderaan itu ke bahu jalan," katanya kepada media di sini hari ini.

Mohd Nizam berkata, pihaknya seterusnya mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa tersepit sehingga selesai.

"Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh anggota paramedik dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan polis mendapati mangsa memandu seorang diri pada kejadian berlaku.

"Mangsa memandu seorang diri dari arah Kelantan ke Gerik dengan membawa muatan kayu potong.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan mangsa hilang kawalan dan terbabas setelah melalui laluan selekoh dan jalan babas," katanya.