Orkestra SP Winds sekali lagi harumkan nama Malaysia

Anggota SP Winds disambut di KLIA sebaik pulang menyertai 30th Australian International Music Festival (AIMF), di Sydney, malam tadi. (Gambar kecil: Roslina)
A
A

SEPANG - Pasukan Simfonik Wind Seri Puteri (SPWinds) Sekolah Seri Puteri sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila memenangi pingat emas di 30th Australian International Music Festival (AIMF), berlangsung di Sydney, bermula 3 Julai hingga semalam.

AIMF merupakan pertandingan antarabangsa anjuran World Project yang disertai 1,400 peserta dari 35 negara.

Pengetuanya, Roslina Ahmad berkata, kemenangan yang diraih itu membuktikan kemampuan pelajar Malaysia bersaing di pertandingan muzik paling berprestij.

“Kejayaan ini amat membanggakan Malaysia kerana SP Winds perlu bersaing dengan dengan orkestra yang terkenal dari seluruh negara.

“Kita sudah dapat menjangkakan kejayaan ini berdasarkan pencapaian SP Winds di peringkat antarabangsa sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sambutan kepulangan pasukan SP Winds di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SP Winds, Adzman Shah.

Bercerita mengenai kejayaan diungguli SP Winds, guru muzik merangkap penasihat pasukan berkenaan, Shahriyah Abdul Rashid tidak menyangka lagu Primavera dan Spartacus membawa tuah buat SP Winds yang dianggotai 56 pelajar Tingkatan satu hingga lima itu.

“Ia sudah tentu kejayaan kepada pihak sekolah apabila kerja keras yang dilakukan membuahkan hasil.

“Saya bangga melihat kesungguhan pelajar bekerja keras setiap hari sedangkan mereka juga sangat sibuk dengan jadual belajar. Mereka perlu membahagikan masa antara akademik dan kokurikulum,” katanya.

Mengakui saingan sengit daripada peserta lain yang kebanyakannya berpengalaman bahkan ada juga bermain muzik sejak kecil.

“Lebih 36 pasukan menyertai pertandingan kali ini dan ada antara mereka yang pernah memenangi pelbagai pingat sebelum ini, sama macam SP Winds.

“Jadi juri mempunyai harapan tinggi untuk melihat persembahan yang luar biasa daripada mereka.

“Sepanjang pertandingan itu juga, peserta dari negara lain sangat terbuka dan begitu kagum dengan persembahan SP Winds. Mereka sempat berkongsi dan bertukar pengalaman mengenai muzik,” katanya.

Shahriyah berkata, sejak 2012, antara negara sudah dijejaki bagi pertandingan itu termasuk Singapura, Australia, Amerika Syarikat, Austria dan Belanda yang semuanya membawa pulang dengan kejayaan.

SP Winds turut mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih muzik Raja Muzaffar Shah Raja Abdullah.

Dalam pada itu, Pengerusi SP Winds, Nurhanis Aqilah Mohd Irwan, 17, berkata, dia menyertai pasukan orkestra berkenaan sejak tingkatan satu dan gembara apabila diberi peluang untuk menyertai persembahan itu.

“Saya memang tidak ada asas dalam muzik dan apabila menyertai pasukan ini dulu, saya belajar pengenalan alat muzik selain membaca skor muzik dan latihan dibuat pada setiap hari.

“Cara saya bahagikan masa akademik dan muzik mudah saja iaitu apabila belajar, tumpukan perhatian di dalam kelas, fokus serta tidak boleh main-main termasuk ketika perbincangan bersama rakan,” katanya yang bermain alat muzik flute.

"Pengalaman bersama SP Winds memberikan saya peluang untuk menjejakkan kaki ke luar negara serta membuat persembahan dan ini sudah tentu pengalaman tidak dapat dilupakan,” katanya.