X

Kindly register in order to view this article
!

A
A

MENJADI tanggungjawab ibu bapa untuk melakukan akikah terhadap anak masing-masing sama ada lelaki ataupun perempuan.

Bagaimana jika anak itu meninggal dunia pada usia sebulan selepas dilahirkan?

Adakah ibu bapa boleh mengakikahkan anak yang sudah meninggal dunia?

Menjawab soalan tersebut, para ulama telah bersepakat bahawa mengadakan akikah bagi anak yang hidup pada hari ketujuh merupakan satu syariat yang dianjurkan.

Para ulama juga bersepakat, tidak perlu mengadakan akikah untuk anak yang meninggal sebelum usia empat bulan dalam kandungan.

Mazhab Hanafi dan Maliki menyatakan, tidak perlu dilakukan akikah untuk anak yang meninggal setelah umur dalam kandungan lebih daripada empat bulan.

Sementara itu, Mazhab Syafie dan Hanbali pula berpendapat, diharuskan melakukan akikah untuk anak yang meninggal dalam kandungan berusia empat bulan ke atas kerana sudah ditiupkan roh.

Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Mazhab Syafie menyatakan, sunah dan perbincangan itu juga disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmuk.

Pandangan itu berdasarkan dalil umum hadis sahih. Sabda Nabi Muhammad SAW: "Setiap bayi tergadai dengan akikahnya, disembelih kambing untuknya pada hari ketujuh, dicukur rambut serta diberikan nama untuknya." (Riwayat Ibnu Majah)

Imam Ibnul Qayyim di dalam kitabnya Tuhfatul Maulud menyatakan, maksud tergadai ialah tertahan daripada mendapat keistimewaan atau kedudukan manfaat jika tidak dilakukan akikah.

Berdasarkan hujah itu, disunatkan untuk bayi yang meninggal dalam kandungan ketika usia kandungan empat bulan ke atas supaya dilakukan akikah kerana tidak disyaratkan mesti hidup sehingga hari ketujuh selepas dilahirkan.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.