X

Kindly register in order to view this article
!

Aplikasi durjana eksploitasi wanita

Tindakan tidak bertanggungjawab mengubah suai gambar wanita untuk memuaskan nafsu golongan ketagih gambar lucah. - The Straits Time/Asia News Network.
A
A

SINGAPURA - Setahun yang lalu seorang gadis berusia 27 tahun yang mahu dikenali sebagai Rose memuat naik gambar selfie dirinya di laman sosial dengan gaya penampilan yang sopan.

Namun, minggu lalu sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila gambar yang sama berada dalam laman forum seks dalam keadaan berbogel.

Rose dimaklumkan bahawa gambarnya telah dicuri dan dieksploitasi menggunakan satu aplikasi baharu yang dilancarkan beberapa bulan lalu.

Setelah disiasat, bukan Rose sahaja yang menjadi mangsa, malah ramai lagi wanita di Singapura menjadi mangsa golongan yang ketagihan gambar dan video lucah.

Pencipta aplikasi berkenaan yang beroperasi di Estonia, menamatkan perkhidmatan aplikasi berkenaan setelah menerima kecaman dan bantahan di sosial media.

Kata pencipta aplikasi itu, ia adalah sekadar untuk suka-suka dan tidak menyangka ia akan menjadi tular.

Sesetengah versi perisian berkenaan masih dikongsi di laman forum seks dan mendapat jumlah pelawat yang tinggi dari Singapura.

Peserta forum boleh menghantar gambar kepada mereka yang memiliki aplikasi berkenaan untuk dimodifikasi supaya kelihatan berbogel.

Gambar berkenaan kemudiannya dimuat naik ke laman forum lucah.

Rose percaya disebabkan penyebaran gambar eksploitasinya itu, pengikutnya di laman sosial tiba-tiba naik dengan mendadak.

"Tindakan ini amat menjijikkan, apa perasaan mereka jika gambar ibu, kakak, isteri dan teman wanita mereka dijadikan bahan lucah seperti ini," katanya.

Seorang peguam, Fong We Li berkata, setakat ini belum ada pendakwaan di mahkamah membabitkan penggunaan aplikasi itu.

Namun dengan mengambil gambar orang lain dan diubah menjadi gambar bogel adalah satu kesalahan.

Katanya, tindakan berkenaan sama seperti mengambil gambar bogel dan memuat naik di laman sosial kerana kesannya sama menjatuhkan maruah orang lain.

Seorang lagi peguam, Gloria James berkata, mangsa yang terlibat boleh melaporkan perkara berkenaan mengikut Akta Perlindungan Gangguan Seksual. - The Straits Times/Asia News Network